Penantian kini berakhir dengan Samsung kini telah memperkenalkan telefon pintar boleh lipat kompak baharunya, Galaxy Z Flip 6. Sungguhpun kelihatan hampir sama seperti model sebelumnya, telefon pintar baharu ini sarat dengan penambahbaikan baharu dari segi perkakasan, bersama-sama beberapa ciri baharu. Semestinya, untuk model kali ini ia dikuasakan oleh Samsung Galaxy AI.
Perbezaan antara model baharu ini dengan Galaxy Z Flip 5 tidak begitu ketara dari segi reka bentuknya. Apa yang amat jelas kelihatan adalah pada gegelang dua buah kameranya yang kini berwarna mengikut warna pilihannya yang terdiri daripada Silver Shadow, Yellow, Blue, Mint, dan warna eksklusif dalam talian, Crafted Black, White dan Peach.
Di bahagian luarnya, skrin luarannya menampilkan paparan Super AMOLED 3.4-inci 60Hz beresolusi 720 x 748 piksel, 306 PPI dan kadar penyegaran semula 60Hz. Menurut Samsung, pihaknya telah menambahkan lebih kefungsian pada skrin luaran tersebut dengan memperkenalkan sokongan penambahan widget dan beberapa aplikasi pihak ketiga.
Sama seperti model sebelumnya, anda perlu menggunakan aplikasi Good Lock jika ingin menggunakan widget-widget yang tidak disokong. Turut baharu diperkenalkan, hiasan latar Cover Screen baharu yang menampilkan elemen-elemen yang boleh berinteraksi dengan sentuhan dan berubah apabila mengubah orientasi kedudukan telefon pintar berkenaan.
Isi Kandungan
Lebih rata, lebih rapat
Di bahagian dalamannya, disediakan sebuah paparan boleh lipat Dynamic AMOLED 2X 6.7-inci beresolusi 2460 x 1080 piksel, kadar penyegaran semula adaptif 120Hz dan juga kamera swafoto 10MP yang ditempatkan pada bahagian berpenebuk lubangnya. Juga disediakan, pembesar suara stereo di sebelah atas dan bawahnya, pengimbas cap jari pada bahagian sisi, serta port USB-C.
Samsung Galaxy Z Flip 6 juga kini boleh dilipat dengan lebih rata hasil penambahbaikan pada bahagian engselnya. Ia juga kini lebih tahan lasak dengan penarafan kerintangan air dan debu IP48. Penambahbaikan ini amat ketara mengambil kira Z Flip 5 sebelum ini yang hanya mempunyai IPX8.
Di dalamnya, telefon pintar boleh lipat kompak ini menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy. Ia dibangunkan secara bersama oleh Samsung dan Qualcomm dengan direka khusus bagi menyediakan prestasi optimum dan juga sokongan sistem Galaxy AI. Digandingkan bersama-sama pemprosesan tersebut, RAM berkapasiti 12GB dengan pilihan storan 256GB atau 512GB turut disediakan kepada pengguna.
Baterinya juga kini lebih bear pada 4,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W melalui port USB selain turut menyediakan pengecasan nirwayar dan PowerShare nirwayar. Telefon pintar ini juga menggunakan Android 14 melalui antaramuka One UI 6.1.1 dan menampilkan sokongan Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3 dan NFC.
Galaxy Z Flip 6 kini dengan Kamera 50MP
Dari segi fotografinya, Galaxy Z Flip 6 didatangkan dengan tetapan dwi-kamera melalui kamera utama 50MP dan kamera ultra-lebar 12MP. Salah satu ciri yang diperkenalkan secara eksklusif untuk telefon pintar, AI Zoom yang membolehkan kameranya melakukan zoom-in atau zoom-out dan melaraskan pembingkaian secara automatik bergantung sejauh mana anda dengan Galaxy Z Flip 6 tersebut.
Bagaimanapun, ia hanya tersedia apabila anda menggunakan skrin luarannya untuk mengambil swafoto atau swafoto berkumpulan. Selain daripada itu, Flex Mode yang membolehkan ia digunakan seperti kamkorder kini didatangkan dengan gelangsar zoom yang memudahkan anda melakukan zoom pada subjek ketika merakam video.
Tidak ketinggalan, ciri Galaxy AI baharu dengan antaranya fungsi Interpreter yang memanfaatkan skrin luaran dan dalamannya bagi menunjukkan terjemahan terus kepada pengguna-pengguna dari kedua-dua arah.
Dalam pada masa yang sama, ciri Circle to Search kini boleh digunakan pada video-video, dengan fungsi Live Translate pula kini tersedia pada aplikasi pihak ketiga yang popular. Ciri Portrait Studio baharu pula telah ditambahkan ke dalam Gallery untuk menjana swafoto anda kepada versi yang digayakan seperti kartun 3D, lukisan cat air dan sebagainya.
Harga Samsung Galaxy Z Flip 6 di Malaysia
Samsung Galaxy Z Flip 6 akan mula memasuki pasaran Malaysia pada 24 Julai 2024 dengan pra-tempahannya kini tersedia melalui laman web rasmi Samsung Malaysia. Bagi konfigurasi RAM 12GB dan storan 256GB, telefon pintar boleh lipat ini dijual pada harga RM4,999 dengan RAM 12GB dan storan 512GB pula dijual pada harga RM5,599. Sokongan perisian dari segi sistem operasi dan keselamatannya ditawarkan sehingga tujuh tahun dari pihak Samsung.