Pengguna telefon pintar mercu terbaru keluaran Samsung, Galaxy S20 Ultra mengadu mempunyai masalah pada kameranya yang menyebabkan cepat panas dan auto fokus secara tiba-tiba.

Pengguna di laman forum Samsung menyatakan telefon pintar berkenaan akan menjadi panas seketika apabila aplikasi kamera diaktifkan. Sebahagian pengguna pula mengadu hayat penggunaan bateri kini hanya boleh bertahan 3 hingga 4 jam, walaupun sudah dicaskan sehingga penuh.

Seorang pengguna Twitter, Dawood aka pegasie memuat naik sebuah video yang menunjukkan isu pada auto fokus Galaxy S20 Ultra. Kameranya sukar melakukan fokus terhadp objek yang berada berdekatannya.

Kenyataan beliau turut disokong oleh pengguna-pengguna lain di dalam forum Samsung. Masalah-masalah yang diadukan oleh para pengguna Galaxy S20 Ultra merangkumi masalah cepat panas, bateri cepat habis dan masalah prestasi.

Isu-isu yang dilaporkan ini didapati muncul selepas Samsung menerbitkan kemaskini terbaru untuk telefon pintar mercunya pada penghujung Mac lalu. Kemaskini berkenaan sepatutnya untuk membaiki isu-isu yang terdapat pada kamera dan juga peningkatan kestabilan telefon.

Secara keseluruhannya, tidak semua pengguna Samsung Galaxy S20 Ultra mengalami masalah yang sama dan setakat ini hanya segelintir yang mengalaminya.

Bagaimanapun, diharapkan pihak Samsung dapat mengambil perhatian berkenaan isu ini dan akan menyediakan pembaikannya pada kemaskini yang akan datang.

Tinggalkan komentar