Anda menggunakan iPhone 13? Pastikan anda menggunakannya dengan lebih cermat kerana kelak anda mungkin berdepan kesukaran untuk membaikinya.
Hal ini kerana Apple dilihat tidak membenarkan anda membawakan iPhone 13 anda untuk dibaiki ke pihak selain dari Apple sendiri.
Saluran YouTube Phone Repair Guru baru-baru ini telah memuat naik video menanggalkan bahagian-bahagian iPhone 13. Menerusinya, beliau mendapati usaha membaiki telefon Apple baharu berkenaan oleh pihak ketiga atau anda sendiri akan berdepan dengan kesukaran.
Apabila tindakan membaiki dibuat sendiri terutamanya melibatkan penggantian skrin iPhone 13 akan menyebabkan fungsi Face ID tidak boleh digunakan.
Terdapat paparan notifikasi “Important Display Message” dan Unable to verify this iPhone has a genuine Apple display” jika anda melakukan perkara sedemikian.
Menurut laman 9to5Mac, pembaikan pihak ketiga yang melibatkan penggantian komponen iPhone 13 seperti mikrofon, cahaya lampu ambien, dan sensor proksimiti bagaimanapun boleh berfungsi dengan baik. Masalah ini hanya melibatkan penggantian skrin sahaja kerana melibatkan fungsi Face ID.
Dalam pada masa yang sama, Phone Repair Guru menyatakan pihak ketiga yang membaiki skrin boleh melakukan langkah tambahan bagi memastikan Face ID boleh berfungsi semula. Tetapi, tidak semua kedai membaiki telefon mampu melakukannya kerana langkahnya yang terlalu rumit.
Apple mengenakan bayaran sehingga $279 (~RM1,167) untuk menggantikan skrin iPhone 13 yang telah tamat tempoh warantinya. Kedai membaiki telefon pada kebiasaannya mengenakan harga yang lebih rendah dari itu untuk kerja pembaikan yang sama.
Kumpulan penyokong hak membaik pulih pengguna, Right to Repair dalam pada masa yang sama sedang menggiatkan usaha mendesak Apple supaya memberikan hak membaik pulih kepada pemilik peranti dan pihak ketiga.