Siri iPhone 13 kini merupakan salah satu telefon pintar paling laris di pasaran pada ketika ini. Baru-baru ini, Apple dilapor meramalkan pencapaian yang lebih besar mampu diperoleh melalui siri iPhone 14 yang akan datang.
Menurut laporan dari Sina Finance, siri iPhone 2022 pada masa ini sedang menjalani pengeluaran percubaan dengan pengeluaran besar-besaran dijangka akan bermula pada bulan depan.
Apple pada tahun ini dijangka akan menawarkan iPhone 14 6.1-inci, iPhone 14 Plus 6.7-inci, iPhone 14 Pro 6.1-inci, dan iPhone 14 Pro Max 6.7-inci. Selain itu, jurang antara model Pro dan bukan Pro juga diperluaskan dengan hanya model Pro sahaja menerima cip A16 Bionic baharu.
Untuk model bukan Pro pula, cip yang digunakan masih lagi A15 Bionic yang diperkenalkan tahun lepas. Dari segi rekabentuk, model Pro juga dikatakan akan menampilkan rekaan takuk berbentuk huruf “i” yang melintang yang menempatkan kamerannya.
Apple juga dikatakan memaklumkan pembekal jualan awal siri iPhone 14 akan mengatasi siri iPhone 13. Dalam tempoh sekarang ini, jualan iPhone dilihat mula perlahan kerana para peminat iPhone sedang menantikan versi berikutnya yang dijangka akan diperkenalkan sekitar September ini.