Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk pada minggu depan bagi membincangkan mengenai pelaburan di Malaysia, lapor akhbar Utusan Malaysia dan The Star. Rancangan tersebut telah didedahkan oleh Perdana Menteri semalam ketika satu sesi dengan penjawat awam negeri di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.
“Minggu hadapan, Elon Musk meminta untuk berunding dengan saya, untuk bincang kemungkinan komitmen beliau untuk tambah pelaburan di Malaysia,” menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menambah Malaysia memerlukan pelaburan dalam dan luar negara baharu bagi meningkatkan pendapatan dan mengurangkan hutang yang menurut beliau kini mencecah RM1.5 trilion.
"Minggu depan.. Elon Musk minta berunding dengan saya." – PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk.#AWANInews pic.twitter.com/cSfPkll1K6
— Astro AWANI (@501Awani) July 7, 2023
Perdana Menteri juga menyatakan beliau sebelum ini telah bertemu dengan pelabur-pelabur dari Jepun, Arab Saudi dan China bagi membincangkan usaha meningkatkan pelaburan di dalam negara. Dari ketiga-tiga negara yang dinyatakan, beliau menjelaskan China telah memberikan nilai pelaburan paling besar setakat ini.
“Ini penting, jika tiada pelaburan, pengangguran akan meningkat, ekonomi tidak akan berkembang, restoran, hotel dan lain juga akan terjejas,” katanya lagi.
Peluang pelaburan baharu ini dijangka dapat meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dari terutamanya di dalam sektor teknologi yang menjadi kekuatan utama.
Maklumat lanjut mengenai pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Elon Musk masih lagi belum dinyatakan seperti tempat dan tarikhnya.
Dalam pada masa yang sama, Tesla baru-baru ini telah mengumumkan pihaknya secara rasmi akan melancarkan operasi dan kenderaan elektriknya di Malaysia pada 20 Julai 2023. Ia akan dilangsungkan dalam tempoh kira-kira seminggu selepas tarikh pertemuan Ketua Pegawai Eksekutifnya dengan Perdana Menteri.