Kementerian Kerja Raya telah mengumumkan diskaun 50% di plaza-plaza tol di seluruh Semenanjung Malaysia bermula pada 27 dan 28 Januari 2025, menjelang perayaan Tahun Baru Cina pada minggu ini. Ia merupakan langkah sementara sebelum memuktamadkan rancangan melaksanakan subsidi bersasar bagi menggantikan tol percuma pada musim perayaan.
Menteri Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan diskaun ini disediakan hanya untuk kenderaan pensendirian Kelas 1 sahaja. Semua plaza tol menawarkan diskaun dalam tempoh tersebut kecuali di sempadan seperti di:
- Plaza Tol PLUS Bangunan Sultan Iskandar
- Plaza Tol Laluan Kedua Lebuhraya Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Tanjung Kupang
Beliau menambah, usaha ini melibatkan kos berjumlah kira-kira RM20.08 juta dari pihak kerajaan. Pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan sebaiknya di dalam tempoh diskaun 50% ini yang bermula dari pukul 12.01 tengah malam 27 Januari sehingga pukul 11.59 malam 28 Januari 2025. Anda juga boleh menggunakan Aplikasi MYPLUS-TTA yang boleh dimuat turun dari Google Play Store, Apple App Store dan Huawei App Gallery untuk membantu mendapatkan maklumat trafik yang lebih tepat.