Utama Teknologi Chrome OS Flex ubah PC usang anda sebagai Chromebook secara percuma

Chrome OS Flex ubah PC usang anda sebagai Chromebook secara percuma

593
0

Google telah mengumumkan sistem operasi baharu yang dikenali sebagai Chrome OS Flex. Ia merupakan sistem operasi awanan pertama yang menurut Google amat pantas, mudah diuruskan dan selamat.

Spesifikasi bagi sistem operasi ini juga tidak terhad pada peranti-peranti tertentu seperti Chrome OS pada Chromebook. Google menjadikan ia percuma dimuat turun dan digunakan pada PC dan Mac.

Produk baharu ini merupakan hasil dari pembelian syarikat Neverware beberapa tahun sebelum ini. Neverware merupakan organisasi di sebalik Cloudready, sebuah sistem operasi sumber terbuka yang dibina berasaskan kod sumber terbuka Chromium OS.

Chrome OS Flex dibina berasaskan kod yang sama dan diterbitkan dengan ciri yang hampir menyamai Chrome OS, baik dari UI hinggalah pengalaman kepenggunaannya.

Google mensasarkan sistem operasi kepada pengguna perkakasan lama yang mungkin berdepan dengan masalah Windows ‘semakin berat’. Untuk itu, alternatif sistem operasi baharu yang ringan dan percuma ini mungkin lebih sesuai digunakan.

Tambahan pula, bagi organisasi yang tidak berkeupayaan membuat penggantian perkakasan secara kerap seperti sekolah atau perusahaan kecil dan sederhana, penggunaan OS sebegini dapat mengurangkan kos operasi. Google turut menyatakan ia juga dapat memudahkan proses peralihan pengguna ke Chromebooks sebaik sahaja perkakasan berkenaan rosak dan tidak ekonomik untuk dibaiki lagi.

Beza Chrome OS dengan Chrome OS Flex

Pun begitu, terdapat beberapa perbezaan ketara di antara Chrome OS Flex dengan Chrome OS pada peranti seperti Chromebook. Misalnya, kesemua peranti Chrome OS didatangkan dengan cip keselamatan Google bagi melindungi sistem dan melakukan pengesahan keselamatan perkakasan dan sistem operasinya.

Akan tetapi, Chrome OS Flex tidak menyediakan fungsi berkenaan pada peranti yang dipasangkan dengannya. Sebagai langkah untuk mengatasi masalah tersebut, Google bekerjasama dengan Microsoft bagi membolehkan bootloader Chrome OS Flex memilih untuk menyokong fungsi UEFI Secure Boot.

Seperkara lagi yang membezakan antara Chrome OS dengan Chrome OS Flex adalah Chrome OS Flex tidak menyokong aplikasi Android atau Google Play Store. Ini bermakna, pengguna Chrome OS Flex tidak dapat menggunakan aplikasi-aplikasi yang kebiasaannya terdapat pada Chromebook. Malah Chrome OS Flex juga tidak berupaya menjalankan mesin maya Windows melalui Parallels Desktop.

Bagi anda yang berhasrat untuk memuat turun dan memasang Chrome OS Flex, anda perlu memastikan sama ada peranti anda termasuk di dalam senarai sebagai model-model yang menyokong Chrome OS Flex.

Peranti yang tidak disenaraikan bagaimanapun masih lagi boleh memasang sistem operasi tersebut. Namun, Google tidak menjamin prestasi, kefungsian dan kestabilan sistem operasi terbabit pada peranti-peranti berkenaan. Untuk memasangkan Chrome OS Flex, peranti berkenaan perlu mempunyai spesifikasi minimum seperti berikut:

  • Pemprosesan x86-64 Intel atau AMD
  • RAM 4GB
  • storan dalaman 16GB
  • Boleh bootable dari pemacu USB
  • Akses administrator penuh ke BIOS

Pemasangan Chrome OS Flex pada peranti sebelum tahun 2010 juga dibimbangi boleh mengakibatkan masalah pada prestasinya.

Cara memasang Chrome OS Flex pada komputer lama

Sama seperti pemasangan Windows atau Linux pada komputer baharu, anda memerlukan pemacu USB berkapasiti sekurang-kurangnya 8GB dan Google Chrome versi terkini.

Anda juga perlu menambah pemalam Chromebook Recovery Utility pada pelayar web berkenaan dan menggunakannya untuk menghasilkan USB installer dengan pemacu USB berkenaan. Seterusnya, live boot peranti anda melalui USB drive ke dalam Chrome OS Flex, kemudian anda boleh memasang Chrome OS Flex ke peranti yang anda inginkan.

Maklumat lanjut mengenai cara memasang Chrome OS Flex boleh didapati melalui pautan berikut: https://support.google.com/chromeosflex/answer/11552529

Selain itu, anda juga boleh boot dari pemacu USB berkenaan bagi melihat sepintas lalu Chrome OS Flex pada peranti anda.

Anda boleh membaca dengan lebih lanjut mengenai Chrome OS Flex dari laman web khusus oleh Google. Atau jika anda berminat untuk mencuba, anda boleh mengunjungi laman Chrome OS Flex untuk mendaftar dan memuat turunnya sendiri.

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.