Utama Mobile Android Cara mendapatkan Mod Gelap WhatsApp

Cara mendapatkan Mod Gelap WhatsApp [Peringkat Ujian Beta]

1605
0

Mod gelap (dark mode) di dalam WhatsApp merupakan salah satu mod yang amat ditunggu-tunggu oleh sebahagian pengguna, kini hadir untuk pengujian pada peranti Android dan iOS.

Rekaan terbaru mod gelap untuk aplikasi permesejan popular ini bakal menggantikan palet warna hijau dan kelabu halus dengan warna hitam, hijau-kebiruan dan biru larut malam. Warna baru ini tidak digunakan sebagai pengganti kepada warna sedia ada, ianya hanya diberikan sebagai pilihan kepada pengguna untuk membuat perubahan palet warna.

Terdapat pelbagai sebab mengapa sesetengah pengguna memilih untuk menggunakan mod gelap. Antaranya, mod gelap lebih selesa untuk dilihat dalam tempoh yang panjang serta lebih menjimatkan pengguna kuasa terutamanya bagi yang memiliki skrin paparan AMOLED.

Cara mendapatkan Mod Gelap WhatsApp untuk Android

Mod gelap WhatsApp kini telah sedia untuk pengujian beta dan pengguna yang berminat boleh mendapatkannya. Oleh kerana ianya masih lagi di dalam peringkat ujian beta, kemungkinan akan terdapat perubahan pada versi yang akan dimuktamadkan nanti. Berikut adalah langkah untuk mendapatkan mod gelap WhatsApp peringkat ujian beta:

  1. Daftar program beta WhatsApp melalui Gedung Google Play
  2. Tunggu sehingga akaun anda diproses (mungkin akan memakan masa sehingga beberapa jam)
  3. Kemaskini aplikasi anda (versi beta terkini adalah 2.20.53 ketika artikel ini ditulis)
  4. Jika anda tidak dapat menemukan pilihan kemaskini, muat turun dan pasangkan fail APK.
  5. Restart aplikasi berkenaan
  6. Ketik ‘Settings’ diikuti dengan ‘Chats’ dan tuilkan ‘dark mode (mod gelap)’ kepada ‘ON’

Cara mendapatkan Mod Gelap WhatsApp untuk iOS

Untuk iOS pula, mod gelap WhatsApp ini didapati hanya boleh digunakan pada versi iOS 13 dan ke atas. Bagaimanapun, beta untuk iOS pada ketika ini tidak boleh diakses berikutan bilangan pengguna yang tinggi. Anda yang berminat mungkin perlu menyemaknya dari masa ke semasa untuk mendapatkan akses jika ada rezeki.

  1. Semak sama ada beta iOS (testflight) sudah dibuka atau tidak dan sertainya jika ada rezeki.
  2. Pasangkan TestFlight pada peranti anda
  3. Klik pada pautan melalui emel jemputan yang anda terima dari WhatsApp
  4. Kemaskini dan lancarkan WhatsApp
  5. Ketik ‘Settings’ diikuti dengan ‘Chats’ dan tuilkan ‘dark mode (mod gelap)’ kepada ‘ON’

Bagaimana rupa Mod Gelap WhatsApp?

Melalui ujian beta mod gelap WhatsApp, kini kita sudah tahu warna yang mungkin akan digunakan di dalam mod berkenaan.

Bagaimanapun, selagi mod gelap ini masih lagi belum dimuktamadkan pada kemaskini WhatsApp kelak, apa yang terdapat di dalam ujian beta ini tidak semestinya akan sama nanti.

Apa pun, nantikan mod gelap WhatsApp yang dijangka bakal hadir melalui kemaskini terbaru dalam masa yang terdekat ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.