Pengeluar skrin dari China, Beijing Oriental Electronics (BOE) berdepan dengan kemungkinan kehilangan pesanan lebih 30 juta skrin untuk iPhone 14 yang akan datang. Hal ini kerana syarikat berkenaan telah didapati mengubah rekaan skrin iPhone 13 bagi meningkatkan hasil pengeluarannya, menurut laporan dari The Elec.
Apple telah melantik BOE bagi menghasilkan skrin iPhone 13 pada Oktober lalu. Usahasama tersebut bagaimanapun tamat awal bulan ini apabila Apple dilaporkan telah mendapati BOE mengubah lebar litar lapisan nipis transistor untuk skrin iPhone 13 tanpa pengetahuan pihak Apple. Apa diorang ingat Apple tak tau ke diorang punya kerja ni?
Tindakan tersebut akhirnya telah memakan diri apabila Apple tidak lagi menggunakan khidmat BOE bagi menghasilkan paparan OLED untuk iPhone 14. Menurut The Elec, BOE sebelum ini telah menghantar seorang pegawai eksekutifnya ke ibu pejabat Apple di Cupertino bagi menjelaskan insiden berkenaan dan menyatakan pihaknya masih belum menerima pesanan untuk membuat skrin paparan iPhone 14.
Apple dijangka akan mengumumkan iPhone 14 di dalam sebuah acara yang dijangka akan diadakan sekitar bulan Oktober ini. Berdasarkan laporan, pengeluaran bagi paparan skrin telefon pintar Apple berkenaan dijangka akan bermula seawal bulan depan.
Sebagai menggantikan tempat BOE tersebut, The Elec menjangkakan Apple akan membahagikan pengeluaran 30 juta skrin paparan tersebut di antara LG Display dan Samsung Display. Kedua-dua syarikat berkenaan merupakan pembekal utama skrin paparan untuk Apple. Samsung berkemungkinan akan menghasilkan paparan 6.1-inci dan 6.7-inci untuk iPhone 14 Pro. Manakala LG pula dijangka akan menghasilkan paparan 6.7-inci untuk iPhone 14 Pro Max.
Menurut MacRumors, BOE sebelum ini hanya menghasilkan skrin untuk iPhone yang dibikin semula (refurbished). Apple kemudiannya melantik syarikat berkenaan bagi menghasilkan paparan OLED untuk iPhone 12 pada tahun 2020, namun kelompok pertama panel-panel skrin berkenaan gagal melepasi ujian kawalan kualiti Apple yang ketat. Sejak awal tahun ini, pengeluaran BOE telah terkesan akibat masalah kekurangan bekalan cip pemacu (driver) untuk skrin paparan.