Utama Mobile Aksesori Apple Watch Series 8 dijangka mungkin memperkenalkan fungsi mengesan Demam

Apple Watch Series 8 dijangka mungkin memperkenalkan fungsi mengesan Demam

463
0

Apple Watch Series 8 dilaporkan akan didatangkan dengan fungsi mengesan suhu badan baharu yang mampu mengesan sama ada penggunanya sedang demam. Menurut Mark Gurman dari Bloomberg, Apple dijangka akan menyertakan fungsi ini ke dalam model standard Apple Watch tahun ini dan juga model tahan lasaknya yang dikhususkan untuk sukan lasak.

Pengesan suhu badan ini tidak mampu mengesan secara spesifik suhu semasa badan pengguna seperti termometer biasa. Namun, ia masih lagi mampu mengesan sama ada sedang mengalami demam.

Jika Apple Watch berkenaan menyangka anda berkemungkinan sedang demam, ia akan mencadangkan anda untuk segera berjumpa dengan doktor atau menggunakan termometer sebenar untuk memastikannya.

Selain dari sensor pengesan suhu, Mark Gurman juga menjangkakan tiada penambahbaikan besar pada perkakasan Apple Watch tahun ini. Cip S8 yang akan digunakannya juga dijangka mempunyai kuasa pemprosesan yang sama dengan cipset S7 dan S6 sebelum ini.

Pengesan demam ini mungkin akan menjadi pemangkin Apple ke arah menjadikan Apple Watch sebagai peranti kesihatan sepenuhnya. Ia dijangka akan memperkenalkan pelbagai fungsi baharu kesihatan seperti memantau tekanan darah, perancangan kehamilan, pengesan glukos bagi mengesan penyakit kencing manis dan banyak lagi.

Pun begitu, menurut Mark Gurman lagi, Apple memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi bagi mencapai hasrat tersebut.

Apple Watch Series 8 berkemungkinan akan dilancarkan sekitar September ini bersama-sama Apple Watch SE baharu dan iPhone 14. Hampir serentak dengannya juga kemaskini perisian termasuk watchOS 9 turut dilancarkan secara global.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.