Peta liputan rangkaian di dalam laman web rasmi Jendela telah dikemaskini dengan menambah maklumat berkenaan liputan rangkaian 5G. Selain penambahan maklumat tersebut, liputan rangkaian 3G pula kini sudah tidak dipaparkan lagi di dalam peta yang disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Anda boleh melihat kawasan-kawasan yang menerima liputan rangkaian 5G, 4G, dan 2G di seluruh Malaysia berdasarkan peta yang disediakan. Tapisan juga boleh dibuat melalui panel pilihan yang disediakan pada sebelah kirinya. Turut disediakan liputan pancaran siaran myFreeview bagi memudahkan anda membuat semakan sama ada kawasan anda menerima liputan siaran televisyen berkenaan.
Bagi liputan rangkaian 5G, perkhidmatan tersebut kini hanya ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi Yes sahaja. Apa yang menarik di dalam laman web Peta Jendela berkenaan, terdapat pilihan untuk menapis pilihan syarikat telekomunikasi Unifi Mobile yang menunjukkan turut menawarkan perkhidmatan rangkaian 5G.
Bagaimanapun, togol pilihan 5G bagi Unifi Mobile tidak diaktifkan buat masa ini dan dijangkakan ia mungkin sebagai persediaan dalam masa yang terdekat ini.
Sebelum ini Unifi Mobile pernah dilaporkan akan menawarkan perkhidmatan 5G pada Februari 2022, namun telah ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian. Pada ketika itu, pihak TM memaklumkan sedang giat menjalankan pengujian perkhimdatan 5G secara dalaman.
Maklumat lanjut mengenai peta ini boleh didapati menerusi laman web rasmi Jendela.