Bersama-sama pengumuman pemprosesan M1 Pro dan M1 Max, Apple turut mengumumkan siri MacBook Pro. Tidak seperti siri MacBook Pro yang terdahulu, siri baharu ini menampilkan dua saiz iaitu 14-inci dan 16-inci.
Dari segi spesifikasi, komputer riba Apple baharu ini dilengkapkan dengan pilihan pemprosesan sama ada M1 Pro atau M1 Max. Jumlah memori yang Disatukan (Unified memory) pula ditentukan berdasarkan pilihan pemprosesan yang diambil.
Misalnya, untuk M1 Pro anda akan mendapatkan Unified Memory sebanyak 32GB. Manakala untuk M1 Max pula jumlahnya digandakan kepada 64GB.
Untuk storan, ia dilengkapkan dengan SSD berkelajuan tinggi yang berkeupayaan mencapai kelajuan sehingga 7.4GB/s. Untuk kapasitinya pula, ia ditawarkan dari serendah 512GB sehinggalah ke 8TB.
Magic Keyboard kini telah kembali pada MacBook Pro keluaran 2021 ini. Tidak seperti keluarannya yang terdahulu, papan kekunci baharu ini membawakan kembali toolbar fizikal pada sebelah atasnya. Seterusnya, menamatkan ciri Touchbar pada MacBook Pro keluaran sebelum ini.
Untuk port, kedua-dua model 14-inci dan 16-inci hadir dengan:
- 3 port USB-C dengan sokongan Thunderbolt 4
- 1 port HDMI bersaiz penuh
- 1 pembaca kad SDXC
- 1 port MagSafe
Kedua-dua panel paparan MacBook Pro ini juga menggunakan paparan Liquid Retina XDR dengan Mini LED yang menawarkan tahap kecerahan maksima 1600 nits. Paparan baharu ini juga menyokong teknologi Apple ProMotion untuk kadar penyegaran semula sehingga 120Hz.
Paparannya yang kini mempunyai bingkai lebih tipis ini juga memiliki takuk yang menempatkan sebuah webcam beresolusi 1080p. Walaubagaimanapun, tiada fungsi FaceID disediakan untuk keluaran tahun ini.
Apple juga menyediakan sebuah sistem bunyi baharu dengan enam pembesar suara pada komputer riba baharunya ini. Ia juga menyokong teknologi audio Spatial yang menurut Apple memberikan pengalaman menikmati muzik dan video baharu yang menyokong Dolby Atmos.
Untuk harganya, MacBook Pro model 14-inci dijual pada harga US$1,999 (~RM8,338). Manakala bagi model 16-inci pula harganya adalah US$2,499 (~RM10,424).