Utama Mobile iOS Apple dilapor mengubahsuai iPhone, cuba atasi larangan penjualannya di Jerman

Apple dilapor mengubahsuai iPhone, cuba atasi larangan penjualannya di Jerman

616
0

Apple beberapa bulan sebelum ini telah dikenakan sekatan mengimport dan menjual sebahagian model-model iPhone di China. Selepas itu, Qualcomm turut diberikan injunksi kedua oleh mahkamah terhadap Apple yang mengharamkan penjualan beberapa model iPhone di dalam pasaran Jerman.

Sedang Apple mengusahakan untuk menarik semula perintah larangan berkenaan, turut dilaporkan syarikat berpangkalan di Cupertino tersebut cuba melakukan pengubahsuaian pada komponen model-model iPhone yang terlibat. Usaha ini dilakukan bagi meneruskan jualan iPhone di Jerman.

Berdasarkan laporan, Apple kini sedang menguji untuk menghasilkan model-model iPhone 7 dan iPhone 8 yang diubahsuai sedikit khusus untuk pasaran Jerman. Selain dari ubahsuai pada perisian, model-model yang terlibat turut ditukarkan komponennya.

Komponen yang menjadi punca kepada perintah injunksi mahkamah tersebut merupakan komponen yang dihasilkan oleh pembekal komponen Apple, Qorvo. Menurut Qualcomm, komponen berkenaan telah melanggar hak cipta paten “envelope tracking” yang dipegang oleh Qualcomm. Antara fungsi yang digunakan termasuklah teknik penjimatan tenaga bateri sewaktu modem sedang aktif.

Jika laporan ini disahkan benar, ia bukan sahaja membolehkan Apple meneruskan jualan model-model iPhone yang popular di Jerman, malah dapat mengelak dari membayar lesen paten kepada Qualcomm untuk model-model terbaru.

iPhone 7 dan iPhone 8 tidak dibenarkan dijual di 15 kedai jualan Apple di Jerman selepas mahkamah memutuskan kes pelanggaran hak cipta tersebut. Bagaimanapun, perintah ini tidak tertakluk kepada iPhone XS, iPhone XS Max, dan iPhone XR.

Kes Apple-Qualcomm ini merupakan sebahagian dari konflik di antara dua gergasi teknologi yang mana Apple telah menuduh Qualcomm melakukan aktiviti anti-persaingan untuk memonopoli teknologi chip modem.

Sumber berita diperoleh dari AppleInsider

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.