Apple dalam tahun ini dilaporkan sedang menggiatkan usaha sebagai peneraju utama inovasi peranti elektronik dengan beberapa produk baru bakal diperkenalkan, lapor penganalisis pasaran Ming-Chi Kuo. Antara produk-produk yang bakal dilancarkan termasuklah MacBook Pro 16-inci, monitor 6K 31-inci dan beberapa peranti berkaitan dengan iPhone serta aksesori-aksesorinya.
Tambah beliau lagi, Apple sedang merancang untuk memperkenalkan sama ada MacBook Pro 16-inci atau 16.5 inci yang menampilkan rekaan serba terkini dalam tahun ini. Turut sama dilaporkan akan diperkenalkan pada tahun ini adalah monitor 6K 31-inci yang menampilkan teknologi pencahayaan latar mirip LED mini bersama-sama output imej berkualiti tinggi.
Tidak ketinggalan, dua model iPad Pro baru bakal diperkenalkan dengan bingkai yang lebih kecil berbanding model semasa 9.7 inci sekarang ini. Turut dinyatakan, iPad Mini model terbaru yang akan dikeluarkan nanti dilengkapi dengan pemprosesan yang dinaik taraf.
Penganalisis Ming-Chi Kuo turut menyatakan model iPhone keluaran 2019 nanti akan memperkenalkan sambungan jalur (band) ultra-luas bagi meningkatkan penerimaan isyarat di dalam bangunan. Serta lapisan kaca berkabut untuk permukaan belakangnya, pengecasan tanpa wayar secara dua-hala dan penggunaan tiga kamera untuk kamera utamanya. Juga, peningkatan pada fungsi Face ID terbaru dan pertambahan pada kapasiti bateri bagi meningkatkan stamina iPhone sesuai dengan cara penggunaan peranti mudah alih masa kini.
Setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman rasmi dari pihak Apple tentang laporan yang diterbitkan oleh penganalisis Ming-Chi Kuo ini. Dijangkakan, kesahihan laporan ini bakal diketahui menjelang pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh Apple dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang.
Sumber berita diperoleh dari 9to5Mac