Awal tahun ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melaksanakan pendigitalan pada beberapa perkhidmatan terasnya merangkumi lesen memandu dan kenderaan (road tax).
Rentetan dari perkembangan tersebut, baru-baru ini beliau telah mengumumkan Kementerian Pengangkutan dan JPJ tidak lagi mewajibkan pengguna kenderaan persendirian untuk mengemukakan lesen memandu dan kenderaan secara fizikal. Beliau berkata demikian pada Jumaat, 10 Februari 2023.
Pengguna boleh mengemukakan salinan digital dokumen tersebut menerusi Portal JPJ atau aplikasi mudah alih MyJPJ. Untuk lesen kenderaan motor, semakan boleh dibuat di dalam bahagian eLKM, manakala lesen memandu pula di dalam bahagian eLMM. Anda boleh memuat turun aplikasi MyJPJ berkenaan di dalam gedung-gedung aplikasi berikut:
Menurut beliau lagi, Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan lesen kenderaan motor (LKM atau cukai jalan) dipamerkan pada kenderaan tidak lagi dikuatkuasakan. Beliau juga berharap langkah ini dapat menggalakkan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital bagi mengurangkan kesesakan di kaunter JPJ, disamping dapat meningkatkan produktiviti negara.
Dalam pada masa yang sama, pengguna yang masih lagi belum bersedia beralih ke teknologi digital masih lagi boleh mendapatkan salinan fizikal cukai jalan untuk dipamerkan dan juga lesen memandu untuk dibawa ke mana-mana.
Selain itu, pemandu yang memiliki lesen memandu pelajar, lesen memandu percubaan, lesen memandu vokasional dan permit memandu antarabangsa masih lagi perlu membawa lesen memandu fizikal masing-masing. Begitu juga halnya dengan kenderaan milik syarikat, komersil atau didaftarkan dengan bukan warganegara juga perlu mempamerkan lesen kenderaan motor (LKM) masing-masing.
Maklumat lanjut mengenai inisiatif pendigital Jabatan Pengangkutan Jalan ini boleh didapati dengan menghantarkan emel kepada infodigital@jpj.gov.my atau hubungi hotline JPJ di talian 03-27242522.