Seperti biasa, peranti Nexus terbaru merupakan peranti pertama yang bakal menerima kemaskini terbaru sistem operasi Android 6.0 Marshmallow. Sistem operasi berkenaan telah diumumkan semasa acara Google baru-baru ini. Google turut menyatakan bahawa peranti-peranti yang terdahulu akan mendapat kemaskini sistem operasi tersebut pada minggu hadapan.
Google pada acaranya di San Francisco minggu lalu ada menceritakan tentang pengeluaran dua peranti Nexus yang terbaru. Peranti flagship mereka, Nexus 6P dihasilkan oleh Huawei manakala model yang lebih kecil pula Nexus 5X dihasilkan oleh LG.
Kemaskini Android 6.0 boleh didapati pada peranti-peranti Nexus 5, Nexus 6, Nexus 7 (2013), Nexus 9 dan Nexus Player. Bagaimanapun, peranti-peranti seperti Nexus 4, Nexus 7 (2012) dan Nexus 10 masih lagi terus dioperasikan oleh Android Lollipop.
Android 6.0 Marshmallow menampilkan penambahbaikan pada ciri keselamatannya dengan sistem keizinan aplikasi yang telah dikaji semula untuk memberikan pengguna lebih kawalan.
Ciri-ciri penting lain yang ada pada sistem operasi ini termasuklah fungsi Now on Tap yang menjadikan Google lebih pintar dan menyediakan keputusan yang lebih bagus secara kontekstual di dalam aplikasi. Turut diperkenalkan adalah Visual Voicemail, RAM Manager dan pilihan penjimatan tenaga Doze.
Sehingga kini, Google masih lagi belum mendedahkan tentang tarikh bila rakan-rakan kongsi Google, telco dan pengeluar akan menerbitkan kemaskini terkini sistem operasi tersebut.
Google secara rasminya menerbitkan Android 6.0 Marshmallow sebagai ‘pewaris’ kepada Android 5.0 Lollipop yang diterbitkan pada tahun lalu.
–Sumber berita diperoleh dari Neuro Gadget