Baru-baru ini kita telah mendapat maklumat mengenai nama kod bagi Android 12 adalah Snow Cone. Selain itu, versi berikutnya ini juga dikatakan bakal hadir mod sebelah tangan dengan rekaan semula rupa bentuk visualnya.
Terkini, XDA Developer turut melaporkan Android 12 bakal hadir dengan fungsi putaran auto yang diperkemaskan, “Gaming Mode” terbina dalam dan tetapan segera kawalan kecerahan.
Fungsi putaran auto yang diperkemaskan ini akan mengesan perubahan kedudukan peranti berdasarkan input dari kamera hadapan. Sebelum ini, fungsi putaran auto ini dilaksanakan berdasarkan penderia accelerometer dan giroskop telefon pengguna. Kaedah ini kadangkala gagal mengesan kedudukan putaran yang betul seperti yang diinginkan pengguna.
Seterusnya, Android 12 turut dijangka memperkenalkan perkhidmatan baharu, GameManager. Ia diterangkan sebagai “service to manage game-related features,” atau dengan kata lain API Gaming Mode dari Google. Fungsi ini membenarkan aplikasi permainan mengawal penerimaan notifikasi, kecerahan dan bunyi bagi memberikan pengalaman kepermainan yang lebih lancar. Ia juga mungkin memberikan tetapan auo-start ketika aplikasi permainan dibuka dan mengaktifkan mod Do Not Disturb (DnD).
Pratonton Pembangunan Android 12 pertama dijangka bakal diterbitkan pada hari ini dan kita bakal menerima lebih banyak maklumat mengenainya dalam masa yang terdekat ini.