AMD berdepan dengan tindakan saman atas sebab memberikan maklumat mengelirukan tentang bilangan teras yang dimuatkan ke dalam pemproses Bulldozer keluaran mereka. Berdasarkan apa yang diiklankan, Bulldozer dikatakan memiliki lapan teras walaupun sebenarnya ia memiliki hanya empat teras yang berfungsi penuh.
Bulldozer menggabungkan dua teras berasingan ke dalam pakej tunggal yang dinamakan sebagai modul oleh AMD. Walaupun setiap modul-modul ini dilihat sebagai dua teras berasingan di dalam sistem operasi seperti Windows, ia masih lagi berkongsi unit titik terapung tunggal (single floating point unit) dan juga sumber arahan dan pelaksanaan yang sama. Atau dengan kata lain, teras-teras ini tidak boleh beroperasi secara berasingan dan bebas (independently)
Sebagai perbandingan, teras-teras pemprosesan Intel memiliki unit titik terapung tunggalnya yang tersendiri dan benar-benar boleh beroperasi secara bebas.
Kesannya, prestasi sebenar Bulldozer dinilai lebih rendah dari apa yang dijangkakan terhadap pemproses lapan teras yang sebenar sebagaimana yang terkandung di dalam tindakan saman berkenaan.
Tambahan pula, pengguna biasa tidak mempunyai pemahaman teknikal yang jelas untuk mengetahui apa sebenarnya ditawarkan oleh AMD melalui pemproses ‘lapan teras’ berkenaan.
Jika tindakan saman berkenaan berjaya, AMD dikehendaki untuk membayar ganti rugi termasuk tindakan statutori, litigasi dan lain-lain bayaran berkaitan.
Mungkin, AMD perlu beralih dari rekaan bermodular Bulldozer ke arah rekaan yang lebih konvensional dan lebih difahami oleh kebanyakan pihak. Reka bentuk senibina Zen yang akan hadir kelak memberikan tumpuan terhadap kod thread secara serentak di dalam setiap teras untuk meningkatkan prestasi setiap teras-terasnya.
-Sumber berita diperoleh dari Ars Technica