Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha untuk menggalakkan atau mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) dalam kenderaan persendirian, susulan peningkatan kes pemanduan berbahaya di jalan raya.
Ketua Pegawai Operasi Fomca, Nur Asyikin Aminuddin berkata, penggunaan dashcam kini dilihat sebagai satu keperluan. Hal ini kerana semakin ramai pemandu yang bersikap cuai, agresif dan tidak sabar. Sekali gus meningkatkan risiko kemalangan serta pertikaian apabila insiden berlaku.
Menurut beliau, rakaman dashcam mampu berfungsi sebagai bukti objektif untuk melindungi pengguna jalan raya yang mematuhi undang-undang. Ia juga dapat membantu mengurangkan risiko penipuan atau cubaan memutar belit fakta oleh pihak yang bersalah. Di samping itu, ia juga memudahkan siasatan pihak berkuasa serta mempercepatkan proses tuntutan insurans.
“Rakaman ini memberi kelebihan kepada syarikat insurans dalam menentukan liabiliti dengan lebih tepat, sekali gus melindungi mangsa yang tidak bersalah daripada dipersalahkan,” katanya.
Sokong Budaya Pemanduan Berhemah
Fomca turut berpandangan bahawa dasar mewajibkan dashcam boleh melengkapi usaha kerajaan dalam memupuk budaya pemanduan berhemah. Ini termasuk inisiatif memberi insentif kepada pemandu yang mempunyai rekod bersih, seperti diskaun tambahan premium insurans.
Dalam masa sama, Nur Asyikin menegaskan penggunaan dashcam kini semakin penting sebagai alat perlindungan hak pengguna, khususnya dalam konflik berkaitan kemalangan jalan raya.
Perlu Kajian Menyeluruh
Bagaimanapun, beliau mengingatkan sebarang cadangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam perlu diteliti secara menyeluruh. Pandangan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), syarikat insurans, pengeluar kenderaan serta pengguna juga perlu diambil kira.
Menurutnya, setiap dasar yang diperkenalkan akan memberi implikasi kepada pelbagai aspek. Antaranya seperti kos, penguatkuasaan, pengurusan tuntutan insurans, perlindungan data peribadi dan hak pengguna.
Fomca juga mencadangkan agar sebarang pelaksanaan diperkenalkan secara berperingkat. Ia bagi mengelakkan beban kepada pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Kerajaan Masih Teliti Cadangan
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook sebelum ini dilaporkan menyatakan bahawa kerajaan masih mengkaji cadangan untuk mewajibkan penggunaan dashcam dalam semua kenderaan. Kajian tersebut mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos kepada rakyat serta keberkesanan operasi pelaksanaannya.
Cadangan ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan ketelusan dalam pengurusan kemalangan di Malaysia.











