KUALA LUMPUR, 16 Jun 2020 – Sebanyak 21,403 pas perjalanan tanpa had, My30 dijual kepada rakyat tempatan pada hari pertama penawarannya, semalam.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias, berkata langganan pakej menerusi insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) itu mendapat sambutan menggalakkan dan laku seperti ‘pisang goreng panas’.
“Orang ramai dilihat beratur seawal jam 6 pagi di kaunter khidmat pelanggan Rapid KL bagi melanggan pakej ini.
“Pada hari pertama pengenalan My30 semalam, sebanyak 21,403 pas perjalanan My30 dijual. Kami menjangkakan bilangan ini akan terus meningkat dari hari ke hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Nizam menaruh keyakinan bahawa pelanggan harian pasti tertarik untuk meraih lebih penjimatan menerusi pakej berkenaan yang dikatakan berupaya memberi diskaun menjangkau 79 peratus, bergantung kepada jarak perjalanan dan kekerapan penggunaan.
Selain itu, beliau menjangkakan penawaran pas bagi merancakkan sektor pengangkutan awam itu berupaya menarik minat pengguna baharu khususnya individu yang sebelum ini lebih cenderung menggunakan kenderaan persendirian untuk ke tempat kerja.
“Pengenalan pakej ini membuktikan kerajaan prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat. Inisiatif ini juga diharap dapat membantu melonjak kembali jumlah pengguna pengangkutan awam seliaan Prasarana.
“Rata-rata pengguna teruja dan berterima kasih kepada kerajaan yang memperkenalkan pakej My30 bagi membantu mengurangkan beban rakyat, khususnya yang terjejas dengan wabak pandemik COVID-19,” katanya.
Mengulas maklum balas mengenai pengenalan pas perjalanan tanpa had itu di media sosial, Muhammad Nizam memaklumkan ia mendapat reaksi positif dalam kalangan orang ramai.
“Daripada 2,209 percakapan mengenai My30 di jaringan media sosial, lebih 85 peratus komen yang diterima adalah sangat positif dan kami amat berterima kasih kepada semua pengguna yang mendukung kami selama ini,” katanya.
Pakej yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 Jun lalu itu terbuka kepada semua warganegara yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas, seliaan Prasarana di Lembah Klang.
Menerusi pakej yang dilanggan menggunakan kad pengenalan berkenaan, pengguna hanya perlu membayar RM1 sehari untuk menaiki perkhidmatan awam secara tanpa had.
Prasarana memaklumkan, pengguna boleh melanggan pakej My30 di semua 122 stesen transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), monorel, bas rapid transit (BRT) dan juga lima hab bas Rapid KL.
Ia merangkumi Pasar Seni, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.