Utama Mobile Telco YTL dan Facebook lancarkan Percubaan Terragraph di P. Pinang, Mampu capai kelajuan...

YTL dan Facebook lancarkan Percubaan Terragraph di P. Pinang, Mampu capai kelajuan lebih dari 1Gbps

808
0

YTL Communications dan Facebook awal hari ini telah melancarkan Terragraph peringkat percubaan, pertama seumpamanya dilakukan pada skala besar-besaran di rantau Asia. Dilancarkan di Georgetown, Pulau Pinang, teknologi tanpa wayar ini menjanjikan internet berkelajuan tinggi dengan kos yang lebih rendah berbanding rangkaian gentian optik kabel bawah tanah.

Menggunakan piawaian WiGig sedia ada, YTL menyatakan pelaksanaan Terragraph kurang intrusif berbanding sambungan rangkaian gentian memandangkan status Bandar Warisan Dunia UNESCO Georgetown perlu dipelihara. Pemasangan nod-nod Terragraph dipasang pada infrastruktur bandar sedia ada seperti pada lampu jalan atau di papan-papan tanda.

YTL dan Facebook turut menjalankan demonstrasi pengujian kelajuan secara langsung di dalam majlis pelancarannya hari ini. Di dalam demonstrasi, rangkaian Terragraph di Georgetown mampu mencapai kelajuan memuat turun puncak pada 1.3Gbps dan kelajuan memuat naik tertinggi 1.7Gbps.

Pada masa yang sama pengujian rintis di tapak lokasi pelaksanaan Terragraph dijadualkan berlangsung selama 6 bulan bermula dari 1 Mac ini. Antara yang dijalankan sepanjang tempoh pengujian berkenaan adalah ujian terhadap rangkaian Wi-Fi awam yang menyediakan akses internet berkelajuan tinggi secara percuma di dalam kawasan-kawasan yang terlibat di dalam pengujian.

YTL turut menyatakan perancangannya untuk menjadikan Terragraph sebagai akses tanpa wayar tetap. Walaubagaimanapun, pihak YTL tidak menjelaskan perancangannya selepas tempoh percubaan enam bulan ini tamat. Segala-galanya adalah bergantung dengan sejauh mana tahap pelaksanaan dan penerimaan projek ini.

Sumber berita diperoleh The Star

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.