Apple Watch mampu melakukan pelbagai perkara tanpa memerlukan iPhone berada hampir dengan anda seperti mendengar muzik, membaca, menghantar mesej dan juga menjawab panggilan.
Kini, anda juga boleh menonton video secara terus pada Apple Watch dengan menggunakan aplikasi WatchTube. Ia merupakan aplikasi baharu yang membolehkan anda menonton apa jua video dari YouTube melalui Apple Watch.
Aplikasi ini juga tidak memerlukan pengguna membuat tetapan yang rumit, malah tidak memerlukan untuk anda membuat tetapan pada iPhone anda. Anda juga boleh memuat turun WatchTube dan menggunakan secara terus dari App Store watchOS. Sebaik sahaja aplikasi berkenaan dipasangkan pada jam tangan pintar berkenaan, anda hanya perlu membukanya dan video dari YouTube sedia untuk ditonton.
Antaramuka aplikasi ini menyediakan empat bahagian berbeza yang terdiri daripada Home, Search, Library, dan Settings. Sama seperti aplikasi YouTube rasmi, aplikasi ini juga menyediakan video yang sedang sohor kini pada bahagian ‘Home’. Pengguna juga boleh memilih kategori video tertentu untuk dipaparkan pada Home.
Selain itu, pengguna juga boleh melanggan sesebuah saluran dan menanda video untuk ditonton kemudian di dalam tab Library. Bagaimanapun, pustaka simpanan video yang ditanda pada WatchTube adalah disimpan secara setempat dan tidak dipautkan dengan akaun YouTube pengguna berkenaan. Buat masa ini, aplikasi WatchTube menyediakan kod QR untuk anda berkongsikan dan mengakses video-video tertentu pada peranti lain seperti iPhone atau iPad.