Beberapa hari yang lalu, pelanggan Yoodo telah berhadapan dengan gangguan perkhidmatan yang memberi kesan terhadap ketersambungan data mudah alih. Yoodo telah menghantar emel pemakluman permohonan maaf atas kesulitan yang berlaku dan turut menawarkan data percuma 3GB kepada pelanggannya.

Menurut Yoodo, kesemua pelanggan-pelanggannya yang aktif sehingga 20 Mac 2021 akan diberikan data percuma 3GB bermula dari 12.01 AM, 23 Mac 2021. Bahagian soalan-soalan lazim menyatakan data percuma 3GB berkenaan akan dimasukkan secara automatik ke peruntukan data sedia ada dan sah digunakan sehingga pelan semasa luput atau diperbaharui.

Data 3GB ini boleh digunakan untuk apa sahaja termasuk penggunaan hotspot. Bagi anda yang tidak menerima data tersebut sehingga jam 2 pagi hari Selasa tersebut, anda dinasihatkan untuk menghubungi khidmat pelanggan melalui Live Chat.

Syarikat telekomunikasi digital yang menggunakan rangkaian Celcom ini telah menjelaskan gangguan ini berlaku ketika penyelenggaraan berjadual dan naik taraf yang bermula pada 17 Mac 2021. Gangguan perkhidmatan utama mula dikesan pada jam 2.30 pagi 18 Mac dan mula pulih pada jam 3 petang hari yang sama.

Bagaimanapun, pada jam 1 pagi 19 Mac terdapat satu lagi isu yang memberi kesan kepada sebilangan pelanggan yang dijadual untuk memperbaharui pelan pada 18 Mac dan telah mengakibatkan gangguan perkhidmatan. Pada 4 petang 19 Mac, 50% pelanggan yang terkesan telah berjaya dipulihkan perkhidmatan dan baki selebihnya telah diselesaikan pada jam 9.30 malam hari yang sama.

Yoodo menyatakan pihaknya telah mengambil iktibar dari pengalaman ini dan berusaha keras memastikan persediaan lebih rapi dapat dibuat bagi menghalang ianya dari berlaku lagi. Bagi pelanggan yang masih lagi berdepan dengan masalah, anda dinasihatkan untuk berhubung dengan pihak Yoodo melalui Live Chat.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.