Kuala Lumpur, 17 Mei 2024 – Maxis mencatat prestasi suku pertama yang kukuh, dengan momentum pertumbuhan yang dipacu oleh perniagaan teras yang berlandaskan strategi telekomunikasi bersepadu Syarikat. Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024, tumpuan Syarikat kepada perniagaan Pengguna dan Perusahaan terasnya memberikan peningkatan sebanyak 3.7% dalam Hasil Perkhidmatan tahun ke tahun (YoY) ke RM2,191 juta. Perniagaan Pengguna Maxis mencatat pertumbuhan merentas kedua-dua segmen mudah alih dan kediaman, manakala perniagaan Perusahaan Maxis mengekalkan momentum daripada peningkatan dalam permintaan untuk penyelesaian kesalinghubungan selaras dengan penerimagunaan digital yang semakin meningkat.
Ditunjangi oleh pertumbuhan hasil yang kukuh, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak 7.4% YoY ke RM1,044 juta dengan peningkatan dalam margin. Ini menyumbang kepada kenaikan dalam Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak 10.3% ke RM353 juta. Syarikat mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4 sen sesaham untuk suku pertama.
Perniagaan Pengguna Maxis mencatatkan peningkatan sebanyak 3.3% dengan hasil pascabayar dan kesalinghubungan kediaman yang lebih tinggi. Hasil pascabayar meningkat sebanyak 5.4%, dipacu oleh pelbagai penawaran Maxis yang luas bagi memenuhi keperluan setiap segmen. Segmen prabayar terus mengekalkan daya tahan dan mencapai pertumbuhan dalam pelanggan dalam persekitaran persaingan sengit kerana menyediakan penawaran yang disesuaikan untuk segmen sasaran. Peningkatan yang sihat dalam jalur lebar fiber kediaman turut menyumbang hasil yang lebih tinggi sebanyak 9.9% dalam kesalinghubungan kediaman keseluruhan, dan Syarikat terus memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan.
Perniagaan Perusahaan Maxis mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 6.0% daripada prestasi yang lebih kukuh dalam kesalinghubungan tetap dan penyelesaian perusahaan. Syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk terus memanfaatkan peningkatan dalam permintaan untuk penyelesaian ketersambungan yang membolehkan teknologi seperti internet kebendaan (IoT), awan, AI generatif (gen AI) dan perkhidmatan rangkaian terurus.
Maxis akan mempercepatkan penerimagunaan penawaran perusahaan generasi akan datang dalam sektor-sektor awam dan swasta, termasuk penyelesaian 5G dan 5G-Advanced (5.5G). Syarikat juga komited untuk menjadi rakan pendigitalan sehenti untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selaras dengan aspirasi negara untuk mempercepatkan penggunaan digital.
Maxis terus menguruskan perbelanjaan modal (Capex) dengan cekap dengan tumpuan terperinci pada penciptaan nilai, melabur RM106 juta pada suku pertama ke dalam pengembangan kapasiti rangkaian, pembinaan gentian dan pendigitalan IT. Pendekatan berdisiplin ini adalah komitmen Maxis untuk menyokong pembangunan 5G negara, di mana Syarikat sejajar sepenuhnya dengan keputusan Kerajaan mengenai model penyampaian 5G dan bersedia untuk membina rangkaian 5G kedua.
Isi Kandungan
Komen oleh Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis:
“Prestasi sihat kami pada suku pertama mengesahkan strategi pertumbuhan telekomunikasi bersepadu kami. Keutamaan kami adalah untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan memberikan nilai yang lebih baik. Dengan pelaburan tertumpu kami dalam rangkaian kami dan pendigitalan, kami yakin akan dapat terus memenuhi keperluan ketersambungan pelanggan kami.”
Sorotan kewangan suku pertama 2024: Suku pertama 2024 berbanding suku pertama 2023
- Hasil Perkhidmatan meningkat sebanyak 3.7% YoY ke RM2,191 juta, didorong oleh pertumbuhan dalam perniagaan Pengguna dan Perusahaan.
- Pascabayar mudah alih mengekalkan momentum dengan pertumbuhan sihat sebanyak 7.5% dalam bilangan pelanggan, membawa jumlah keseluruhan langganan pascabayar kepada 3.65 juta. Ini menyumbangkan kepada RM911 juta dalam hasil Pascabayar Mudah Alih untuk suku ini, dengan peningkatan sebanyak 5.4%.
- Langganan Prabayar mudah alih meningkat sebanyak 1.5%, disokong oleh pendekatan yang disesuaikan kepada segmen pasaran yang berbeza dan penciptaan nilai melalui penawaran yang diperibadikan. Segmen prabayar mengekalkan daya tahan, dengan jumlah pelanggan keseluruhan yang stabil pada 5.77 juta dan RM649 juta dalam hasil.
- Kesalinghubungan Kediaman memberikan pertumbuhan hasil yang sihat, meningkat sebanyak 9.9% YoY ke RM244 juta oleh sebab strategi ke pasaran secara bersasar. Sambungan kediaman mencatatkan pertumbuhan pelanggan sebanyak 11.2% berbanding dengan suku yang sama tahun lepas, untuk jumlah langganan sebanyak 765,000.
- Hasil Perusahaan meningkat sebanyak 6.0% ke RM387 juta daripada permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian dan perkhidmatan ketersambungan dan digital, serta perjanjian borong 4G dan 2G yang dimeterai pada Jun 2023.
- EBITDA meningkat sebanyak 7.4% ke RM1,044 juta kerana hasil yang lebih tinggi daripada perniagaan Pengguna dan Perusahaan teras menyumbang kepada peningkatan dalam margin.
- Keuntungan Selepas Cukai meningkat sebanyak 10.3% ke RM353 juta selaras dengan EBITDA yang lebih kukuh.
- Capex sebanyak RM106 juta untuk pengembangan kapasiti rangkaian, pembinaan rangkaian gentian dan pendigitalan IT.
- Aliran tunai bebas operasi berjumlah RM857 juta, disumbangkan oleh pengurusan modal kerja yang kukuh dan bayaran cukai dan vendor yang lebih rendah, dengan baki tunai yang stabil sebanyak RM1,168 juta setakat suku pertama 2024.
Inisiatif Utama:
- Mempamerkan percubaan teknologi 5G-Advanced (5.5G) yang pertama di Asia Tenggara, menawarkan kelajuan sehingga 10 kali lebih pantas, menghubungkan 10 kali lebih banyak peranti dan juga 5 kali lebih responsif berbanding dengan 5G.
- Memperkayakan pelan-pelan Prabayar dan Pascabayar Hotlink dengan 5G secara menyeluruh, lebih banyak data dan kelajuan tanpa had.
- Memperkenalkan pelan WiFi Kediaman 5G serba baharu yang menawarkan kelajuan seakan gentian melalui pengalaman plug-and-play tanpa kerisauan.
- Mengambil bahagian dalam skim Pakej P-Hailing RAHMAH pihak Kerajaan yang diumumkan pada Januari 2024 untuk menyokong penunggang penghantaran melalui pelan data mampu milik yang menyediakan ketersambungan lancar yang kritikal untuk penghantaran harian mereka.
- Menerima anugerah berprestij antarabangsa iF Design Award untuk Pengalaman Pengguna (UX) untuk aplikasi mudah alih Hotlink, dengan Maxis sebagai pemenang sulung dan tunggal dari Malaysia dan Asia Tenggara dalam kategori UX aplikasi mudah alih.