Yes 5G baru-baru ini telah melancarkan pelan Yes Mobile WiFi baharu. Pelan ini menawarkan peranti WiFi mudah alih (MiFi) 5G Advanced berserta data 5G tanpa had bermula pada harga RM58 sebulan.
Tiada sekatan kuota Dasar Penggunaan Saksama (FUP) dikenakan di dalam pelan ini. Sama seperti penawaran Yes 5G Advanced Home WiFi.
Walau bagaimanapun, sekiranya pengguna berada di luar kawasan liputan 5G Digital Nasional Berhad (DNB), pelan ini masih menyediakan sambungan 4G dengan kelajuan tanpa had beserta kuota bulanan sebanyak 500GB.
Melalui tawaran promosi ini, pelanggan yang bersetuju dengan kontrak 24 bulan akan menerima peranti MiFi secara percuma. Manakala pelanggan yang memilih kontrak 12 bulan perlu membayar RM199 untuk peranti tersebut.
Pelan Yes Mobile WiFi kini ditawarkan pada harga RM58 sebulan (RM61.48 termasuk SST) khusus untuk data sahaja dan tidak menyokong fungsi panggilan suara dan SMS.
Berdasarkan halaman Soalan Lazim (FAQ) Yes 5G, kad SIM di bawah Yes Mobile WiFi ini tidak boleh digunakan pada telefon pintar. SIM berkenaan telah dikonfigurasi khusus untuk beroperasi pada rangkaian dan peranti Yes yang ditetapkan seperti ZTE U30 Air MiFi.
Peranti bernilai RM599 ini menyokong liputan rangkaian 5G NSA (Non-Standalone) dan SA (Standalone). Ia dilengkapkan dengan WiFi dwi-jalur (2.4GHz dan 5GHz) dengan teknologi 2×2 MIMO yang menawarkan kadar pemindahan puncak sehingga 867Mbps.
Turut disediakan sokongan Komunikasi Medan Dekat (NFC) untuk membolehkan peranti Android bersambung secara sentuhan tanpa memasukkan kata laluan. Sambungan internet secara berwayar juga boleh dibuat melalui port USB-C.
Hanya 10 peranti secara serentak boleh disambungkan pada peranti ini termasuk telefon pintar, tablet, dan komputer riba.
Bateri 4,500mAh disediakan pada ZTE U30 Air MiFi. Membolehkannya mampu bertahan sehingga 10 jam dengan hanya sekali cas.
Maklumat lanjut, layari Yes 5G Mobile Wifi.











