Menjelang Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) di Barcelona pada 1 Mac ini, HONOR mempertontonkan Magic V6 lebih awal. Telefon pintar boleh lipat baharu ini tampil tanpa sebarang kesan garis lipatan di bahagian tengah skrin utamanya.

Imej tersebut dikongsikan oleh eksekutif syarikat menerusi platform Weibo. Skrin dalaman peranti tersebut kelihatan rata dan sekata apabila dilihat dari sudut hadapan.

Hal ini merupakan satu pencapaian yang amat memberangsangkan. Ini kerana hampir kesemua peranti boleh lipat di pasaran masa kini masih menampakkan struktur alur atau kesan lipatan yang jelas pada bahagian engsel.

Menurut Eksekutif HONOR, Wang Fei, paparan tanpa kesan lipatan pada Magic V6 ini berjaya dicapai tanpa mengorbankan parameter penting lain. Antaranya reka bentuk yang nipis dan ringan, kapasiti bateri, serta prestasinya.

HONOR Magic V6 dijangka akan mempunyai komponen engsel yang dinaik taraf bagi meningkatkan ketahanan. Ia dipercayai menjadi kunci utama kepada hilangnya kesan lipatan pada skrin.

Kaca ultra nipis (UTG) yang digunakannya pula akan membawakan perlindungan paparan termaju. Kadar pantulan serendah 1.5 peratus pula membolehkan penggunaan optimum di bawah cahaya matahari terik.

Telefon pintar boleh lipat ini juga disahkan akan menjadi pertama di dunia dengan ketahanan IP68 dan IP69.

Selain HONOR, Oppo juga dilaporkan sedang mempromosikan Find N6 yang juga dikatakan akan hadir dengan paparan tanpa kesan lipatan. Perkembangan ini sekaligus bakal merancakkan lagi persaingan inovasi teknologi peranti pintar pada tahun ini.

Tinggalkan komentar