Kuala Lumpur, 24 Jun 2026 – Bersempena sambutan Hari Bapa 2026, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) menjalinkan kerjasama bersama MONSTA, syarikat animasi tempatan yang terkenal menerusi watak Papa Zola, bagi menyampaikan mesej penghargaan terhadap peranan penting seorang bapa dalam institusi keluarga.

Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha LPPKN untuk menyampaikan mesej kekeluargaan melalui pendekatan yang lebih kreatif, dekat dengan masyarakat dan mudah diterima oleh pelbagai lapisan usia, selari dengan objektif Sambutan Hari Bapa Kebangsaan.

Menurut pihak MONSTA, Papa Zola merupakan tokoh kebapaan dalam keluarga, bukan sahaja sebagai pelindung dan pencari nafkah, tetapi juga sebagai figura kasih sayang, sokongan emosi dan inspirasi kepada anak-anak. 

“Papa Zola bukan sekadar karakter animasi, tetapi sebuah gambaran seorang bapa yang sentiasa mencuba sedaya upaya untuk keluarganya. Walaupun sering hadir dengan cara yang lucu dan mencuit hati, nilai kasih sayang serta tanggungjawab kekeluargaan yang dibawanya sangat dekat dengan kehidupan seharian,” ujar Faiz Zainal Aabidin, Direktor MONSTA Media.

Tambah beliau lagi, “Kami berharap kerjasama bersama LPPKN ini dapat menyampaikan mesej positif kepada lebih ramai keluarga sempena sambutan Hari Bapa.”

Sehebat Kasih Bapa

Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026 bakal berlangsung pada 28 Jun 2026 di Taman Tasik Cyberjaya, Selangor dengan tema #SehebatKasihBapa. Pelbagai aktiviti menarik telah dirangka untuk para pengunjung, antaranya ‘Treasure Hunt: Misi Bapa Hebat’, Meet & Greet bersama maskot Papa Zola, aktiviti ‘Papa & Kids Challenge’ serta pelbagai pengisian kekeluargaan yang lain.

Penganjuran sambutan ini mencerminkan komitmen LPPKN dalam memperkukuh institusi kekeluargaan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan hubungan erat antara ibu bapa dan anak-anak dalam kehidupan seharian.

Seiring dengan kerjasama ini, Papa Zola The Movie kembali ke pawagam menerusi tayangan khas sempena Hari Bapa bermula 11 Jun hingga 30 Jun 2026 di pawagam terpilih seluruh Malaysia.

Tayangan semula ini memberi peluang kepada keluarga untuk meluangkan masa bersama sambil menghayati kisah Papa Zola yang mengetengahkan nilai keberanian, tanggungjawab dan kasih sayang seorang ayah terhadap keluarganya.

Tinggalkan komentar