Utama Android Xiaomi Xiaomi sahkan produk Mi Band X tidak wujud berdasarkan foto Latihan tular...

Xiaomi sahkan produk Mi Band X tidak wujud berdasarkan foto Latihan tular sebelum ini

311
0

Beberapa hari yang lepas terdapat laporan mengenai kewujudan peranti misteri jam tangan pintar Mi Band X menerusi foto latihan dalaman yang tertiris. Dikatakan, jam tangan tersebut menampilkan paparan fleksibel 360 darjah yang melilit pergelangan tangan penggunanya.

Bagaimanapun, peranti tersebut tidak wujud dan nama Mi Band X hanyalah sekadar rekaan dan dijadikan sebagai produk contoh bagi kegunaan program latihan pekerja-pekerja baharu Xiaomi. Perkara ini telah disahkan oleh Eksekutif Perhubungan Awam Xiaomi, Wang Hua menerusi Weibo.

Menurut beliau, program tersebut memberikan latihan yang meliputi perancangan, strategi pemasaran, pengkhususan jualan utama, sebagainya menerusi gambaran melalui produk-produk contoh.

Wang Hua menegaskan Mi Band X bukanlah produk yang wujud dan Xiaomi kini tiada perancangan untuk menghasilkan peranti seumpamanya. Kenyataan ini pastinya mengecewakan sesetengah pihak yang mengharapkan sesuatu yang baharu diperkenalkan pada peranti boleh pakai.

Sungguhpun paparan 360-darjah mampu dihasilkan berdasarkan teknologi paparan semasa, sesetengah komponen seperti bateri dan papan litar amat sukar direka mengikut kelenturan. Tidak dapat dipastikan sama ada perkembangan teknologi dalam tempoh lima atau sepuluh tahun lagi mampu merealisasikannya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.