Jam tangan pintar Xiaomi Mi Band sememangnya dikenali sebagai sebuah peranti boleh pakai yang hebat pada harga mampu milik. Bagaimanapun, maklumat tertiris terbaru mengatakan Xiaomi sedang mengusahakan sebua peranti mercu yang dikenali sebagai Mi Band X.
Maklumat ini diperoleh menerusi sebuah foto menunjukkan pembentangan yang memberi penerangan mengenai paparan bersudut 360 darjah.
Gelang jam tangan pintar ini dikatakan akan mempunyai paparan fleksibel yang boleh melilit pada pergelangan tangan anda.
Oleh kerana ia tidak mempunyai kepala cangkuk, ia boleh meliputi keseluruhan 360 darjah. Ketiadaan kepala cangkuk ini akan digantikan dengan penggunaan magnet bagi melekapkannya pada pergelangan tangan pengguna.
Slaid pembentangan tersebut juga mengatakan Mi Band X akan lebih tipis dan ringan. Dijangkakan, penawaran spesifikasi sebegini pastinya bukanlah sesuatu yang murah. Sebagai perbandingan, Xiaomi Mi Smart Band 6 di Malaysia berharga RM 168, setakat hari ini.
Itupun, paparan Mi Smart Band 6 tidak menawarkan paparan 360 darjah. Justeru, harga bagi Mi Band X kelak apabila dilancarkan mungkin akan lebih tinggi dari apa yang ditawarkan pada ketika ini.