Awal bulan ini Xiaomi telah mengumumkan Mi 11 untuk pasaran global selepas pelancaran kali pertamanya telah diadakan di China Disember tahun lalu.

Baru-baru ini, telefon pintar pertama menggunakan Snapdragon 888 akan hadir ke Malaysia pada 25 Februari 2021 tepat jam 8 malam. Pelancaran akan dibuat secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Xiaomi Malaysia.

Mi 11 akan hadir dengan paparan ‘quad-curve’ AMOLED 6.81-inci dengan resolusi 3200×1440 piksel WQHD+. Terdapat satu fungsi menarik yang mana imej beresolusi 480p mampu dipertingkatkan kepada resolusi 1440p. Juga Mi 11 akan hadir dengan sokongan HDR10+ dan warna 10-bit.

Seperti kebanyakan telefon pintar mercu masa kini, MI 11 turut menyediakan kadar penyegaran semula paparan 120Hz. Bersama-sama kadar pensampelan sentuhan 480Hz. Xiaomi nampaknya memberikan lebih tumpuan terhadap kualiti paparan untuk telefon pintar mercunya kali ini.

Xiaomi Mi 11 dengan kelebihan Qualcomm Snapdragon 888

Pastinya, dengan dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 888, Mi 11 hadir dengan keupayaan 5G. Selain itu, ianya hadir dengan RAM LPDDR5 8GB dan storan dalaman UFS 3.1 sehingga 256GB. Cuma, untuk varian pasaran global seperti yang akan hadir ke Malaysia kelak, ianya tidak disediakan ruangan tambahan slot kad mikroSD.

Spesifikasi kameranya juga dikira boleh tahan menarik dengan tetapan tri-kamera di belakangnya. Ia mengandungi sebuah lensa utama 108MP f/1.85 dengan penderia 1/1.33″ dan penstabil imej optikal (OIS). Dibantu dengan sebuah lensa ultra lebar 13MP dan lensa telemakro 5MP. Dihadapannya pula disediakan sebuah kamera 20MP untuk swafoto.

Mi 11 mempunyai sebuah bateri berkapasiti 4,600mAh dengan pengecasan berwayar 55W. Menariknya, ia juga menyokong pengecasan pantas nirwayar 50W dan juga pengecasan nirwayar berbalik 10W untuk peranti yang menyokong Qi.

Menurut Xiaomi, telefon pintar ini mampu mengecas sepenuhnya dalam tempoh 45 minit melalui kabel USB-C dan 53 minit untuk pengecasan secara nirwayar.

Xiaomi turut mengesahkan varian global ini masih lagi menggunakan Google Mobile Services. Hanya model di China sahaja yang tidak dapat mengakses ke perkhidmatan berkenaan. Tidak ketinggalan, telefon pintar mercu ini kekal menyediakan pengecas pantas 55W GaN bersama-sama pembeliannya.

Jika mengambil kira harga ketika Xiaomi Mi 11 dilancarkan di Eropah tempoh hari, harga yang dijangkakan:

  • RAM 8GB + storan 128GB – EUR 749 (~RM3,662)
  • RAM 8GB + storan 256GB – EUR 799 (~RM3,907)

Tinggalkan komentar