Beberapa bulan selepas melancarkan model standard Mi 11, Xiaomi kini melancarkan model Pro dan Ultra pula. Selain dari menggunakan cipset mercu Snapdragon seperti model standard, kedua-duanya menawarkan ciri uniknya tersendiri terutama pada keupayaan fotografi.
Kedua-dua model terbaru ini menampilkan paparan melengkung AMOLED 6.81-inci beresolusi 2K, kadar penyegaran semula 120Hz, Dolby Vision dan perlindungan Corning Gorilla Glass Victus.
Xiaomi Mi 11 Pro dan Ultra yang menggunakan cipset Snapdragon 888 ini turut menawarkan RAM sehingga 12GB. Bagi model Pro, storan yang ditawarkannya adalah sehingga 256GB. Manakala untuk Ultra pula, storan yang ditawarkan adalah sehingga 512GB.
Sebuah bateri berkapasiti 5,000mAh turut ditawarkan untuk kedua-dua model ini yang turut menyokong pengecasan berwayar 67W. Ianya juga menyokong pengecasan nirwayar yang berkeupayaan mengecas dari sifar sehingga penuh dalam tempoh 37 minit.
Selain itu, kedua-dua telefon pintar baharu ini menggunakan sistem MIUI terkini yang berasaskan Android 11. Serta menawarkan dwi pembesar suara Harman Kardon dan ketersambungan Wi-Fi 6 dan 5G. Ia juga mempunyai kerintangan debu dan air dengan penarafan IP68.
Fotografi Mi 11 Pro dan Mi 11 Ultra
Dari sudut fotografi, Mi 11 Pro dilengkapkan dengan sebuah kamera 50MP Samsung ISOCELL GN2 1/1.12-inci. Kamera ini menampilkan saiz piksel 1.4μm, penstabil imej optikal (OIS), Dual Pixel Pro AF, Stagger HDR, ISO Fusion dan mampu merakam video beresolusi 8K.
Kamera utama Mi 11 Pro turut mengandungi modul kamera periskop telemakro yang mampu mengezum 5x secara optikal dan 50x secara digital. Melengkapkan tetapan tri-kameranya adalah sebuah kamera ultra lebar 13MP. Untuk swafoto, sebuah kamera 20MP ditempatkan pada bahagian hadapannya.
Untuk model Mi 11 Ultra pula, kamera utamanya 50MP dan swafoto 20MP yang ditawarkannya adalah sama seperti yang terdapat pada model Pro. Apa yang membezakannya adalah pada penggunaan kamera telemakro dan ultra-lebarnya yang menggunakan Sony IMX586 48MP. Kamera tele padanya mampu mengezum 5x secara optikal dan 120x secara digital. Ketiga-tiga kamera yang dilengkapkan ini juga menampilkan fokus auto berlaser 64 dToF bersama-sama teknologi pengimejan bercahaya rendah lanjutan dari Xiaomi.
Akhir sekali, Mi 11 Ultra turut menampilkan paparan kedua kecil pada ruangan bahagian kamera belakangnya yang juga boleh digunakan sebagai pemidang tilik (viewfinder). Ianya dapat memudahkan pengguna untuk mengambil swafoto melalui kamera utamanya. Paparan kedua ini turut berperanan sebagai paparan notifikasi maklumat lain seperti notis aplikasi, tahap bateri dan sebagainya.
Harga bagi Xiaomi Mi 11 Pro bermula dari RMB 4,999 (~RM 3,152) untuk pilihan 8GB+128GB. Manakala Ultra pula, harganya bermula dari RMB 5,999 (~RM3,783) untuk pilihan 8GB + 256GB.
Kedua-dua model ini juga akan dijual di pasaran China dan beberapa pasaran terpilih pada April ini. Harga dan tarikh keberadaannya di pasaran Malaysia bagaimanapun masih lagi belum diumumkan buat masa ini.