Home Android Xiaomi Xiaomi Mi 11 dilancarkan secara rasminya; Tampil Snapdragon 888, AMOLED 120Hz, Kamera...

Xiaomi Mi 11 dilancarkan secara rasminya; Tampil Snapdragon 888, AMOLED 120Hz, Kamera 108MP

17
0

Xiaomi baru-baru ini secara rasminya telah melancarkan model mercu terbarunya, Mi 11. Telefon pintar terbaru ini merupakan peranti pertama yang menggunakan Snapdragon 888 di dunia.

Selain dilengkapkan dengan cipset Qualcomm premium terbaru dan modem 5G Snapdragon X60, Mi 11 turut didatangkan bersama-sama paparan 6.81-inci AMOLED WQHD+.

Paparan ini mempunyai kadar penyegaran semula 120Hz dan kadar pensampelan sentuhan 480Hz. Paparan HDR 10+ juga mempunyai tahap kecerahan maksimum 1500 nits dan dilindungi oleh Corning Glass Victus.

Bukan itu sahaja, pengimbas cap jari terbina dalam Mi 11 juga boleh difungsikan sebagai pengesan denyutan nadi. Terdapat juga sebuah kamera swa-foto 20MP f/2.4 yang ditempatkan pada penjuru atas kiri paparan hadapan.

Di bahagian belakangnya pula, Mi 11 turut dilengkapkan dengan sebuah lensa 108MP f/1.85 sebagai kamera utama, bersama-sama kamera ultra-luas 13MP f/2.4 dan sebuah lagi kamera telemakro 5MP f/2.4.

Bersama-sama dengannya disediakan dwi-pembesar suara yang ditala khusus oleh Harman Kardon. Telefon pintar mercu tebaru keluaran Xiaomi ini didatangkan dengan bateri berkapasiti 4,600mAh.

Melalui pengecas Mi TurboCharge 55W, Mi 11 boleh dicaskan sepenuhnya dalam tempoh 45 minit. Atau 53 minit jika dicaskan melalui pengecas nirwayar 55W.

Bercakap tentang pengecas, Xiaomi tidak lagi menyediakan pengecas bagi setiap pembelian telefon pintar baharunya di China. Bagaimanapun, agak menghairankan juga apabila pengecas berkenaan boleh didapati bersama jika pengguna membeli edisi pukal Mi 11 pada harga yang sama dengan versi tanpa pengecas.

Harga Mi 11 bagi variasi RAM 8GB dan storan dalaman 128GB dijual pada harga RMB 3999 (~RM 2479), manakala untuk variasi 256GB pula, dijual RMB 4299 (~RM 2666). Terdapat juga variasi RAM 12GB dengan storan dalaman 256GB dengan harga RMB 4699 (~RM 2914).

Setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan mengenai Xiaomi Mi 11 di pasaran luar China.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.