Utama Android Xiaomi Xiaomi beri jawapan rasmi tentang khabar angin tiada lagi Google Mobile Services

Xiaomi beri jawapan rasmi tentang khabar angin tiada lagi Google Mobile Services

934
0

Xiaomi ambil maklum mengenai khabar angin yang mengatakan telefon pintarnya tidak lagi menyokong Google Mobile Services (GMS). Isu ini timbul selepas Xiaomi disenarai hitam oleh kerajaan US dan mencetuskan kebimbangan bakal mengikut jejak langkah Huawei.

Khabar angin ini telah disangkal oleh pihak Xiaomi menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan. Menurut kenyataan tersebut, maklumat salah berkenaan muncul melalui saluran tidak rasmi di Xiaomi Community, tempat para Mi Fans berkongsi pendapat.

Tambah kenyataan yang dikongsikan menerusi laman rasmi Xiaomi di Weibo tersebut, tidak semua peranti Xiaomi yang dipasarkan di China menyokong GMS. Salah faham berkenaan mungkin timbul berkenaan model yang tidak menyokong GMS tidak membenarkan pengguna memsang aplikasi dan perkhidmatan Google.

Tidak seperti peranti yang dipasarkan ke pasaran global, sesetengah peranti Xiaomi khusus pasaran China sememangnya tiada akses ke perkhidmatan dan aplikasi Google. Lagipun, peranti berkenaan hanya dijual di pasaran China sahaja.

Bagaimanapun, Xiaomi turut menyatakan kesediaan untuk menambah bilangan peranti yang mempunyai sokongan GMS bagi memenuhi permintaan domestiknya. Namun, kenyataan tersebut tidak memaklumkan  model apa yang tidak menyokong GMS.

Pengarah Pembangunan Perisian Telefon Pintar Xiaomi, Zhang Guoquan dilaporkan berkata, peranti yang dipasang GMS akan memakan ruang storan sehingga 700MB dan memori sehingga 200MB. Jika berlaku sesuatu isu, kadangkala GSM boleh menyebabkan peranti kepanasan dan menggunakan kuasa yang banyak. Ini menjadi sebab mengapa GMS tidak disertakan pada sesetengah model jualan domestik.

GMS masih lagi ada untuk pasaran antarabangsa

Kenyataan rasmi tersebut menekankan model-model antarabangsa tidak akan terkesan dan masih lagi menyokong Google Mobile Services. Xiaomi bakal melancarkan telefon pintar mercunya Xiaomi Mi 11 esok untuk pasaran Global. Siri telefon pintar berkenaan disahkan akan dipasangkan dengan aplikasi dan perkhidmatan Google.

Ini bermakna, pengguna-pengguna lain di luar China, terutamanya di Malaysia masih lagi menerima peranti Xiaomi, Redmi dan Poco yang disertakan dengan aplikasi dan perkhidmatan Google. Cuma, pengguna yang membeli set import dari China perlu mengambil perhatian pada jenis model kerana tidak semua model menyokong GMS.

Senarai hitam yang dikenakan pada Xiaomi oleh kerajaan US adalah berbeza dengan yang dikenakan pada Huawei. Xiaomi masih lagi dibenarkan berurusan dengan firma-firma US seperti Google dan Qualcomm. Firma-firma dari US dilarang untuk membuat pelaburan dengan Xiaomi dan segala pegangan saham perlu dijual selewat-lewatnya sebelum 11 November 2021.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.