Pelbagai kejayaan yang telah ditempa oleh Xiaomi dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Selepas mencatat rekod melalui jualan telefon pintar terbesar di Eropah pada suku kedua 2021, rekod jualan pada Jun lalu pula lebih mengejutkan.
Berdasarkan laporan terkini dari Counterpoint Research pada Jun lalu, Xiaomi mula memintas Samsung sebagai jenama telefon pintar paling laris di dunia.
Walaupun prestasi suku tahunan tidak menggambarkan ukuran sebenar prestasi, pencapaian ini setidaknya menunjukkan Xiaomi menjadi syarikat pertama yang memintas Samsung selain dari Apple.
Pasaran China berkembang 16% antara bulan ke bulan pada Jun yang disumbangkan dari perayaan 618 dan turut memberikan kesan pada hasil pendapatan Xiaomi.
Selain itu, Xiaomi juga menjadi OEM paling cepat meningkat dengan promosi secara luar talian di bandar-bandar kecil. Prestasi mantap dari perantinya seperti Redmi 9, Redmi Note 9 dan siri Redmi K turut menyumbang kepada perkembangan ini.
Pun begitu, perubahan penguasaan pasaran ini turut disebabkan oleh faktor kesan dari pandemik COVID-19. Penularan baharu di Vietnam telah memberikan kesan terhadap pengeluaran Samsung sepanjang Jun baru-baru ini.
Dijangkakan Samsung mampu bangkit semula menguasai pasaran dalam masa terdekat ini jika penularan wabak ini dapat disekat dan pengeluarannya kembali pulih seperti sebelum ini.