Xiaomi secara rasminya telah menetapkan tarikh pelancaran bagi peranti mercu terbaharunya, Xiaomi 17 Ultra, yang dijadualkan berlangsung pada 25 Disember ini bersempena sambutan Hari Krismas.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi akaun rasmi jenama itu di laman sosial China, Weibo, yang turut memperlihatkan rekaan fizikal telefon pintar berkenaan kepada umum.
Berdasarkan imej promosi yang dikongsikan, Xiaomi 17 Ultra akan hadir dalam sekurang-kurangnya tiga pilihan warna. Imej utama memaparkan variasi warna hitam dan putih, manakala imej pengepala akaun media sosial tersebut mendedahkan pilihan warna hijau.
Pelancaran ini juga menandakan kesinambungan kerjasama strategik antara Xiaomi dan Leica melalui model ciptaan bersama (co-creation model) dalam teknologi pengimejan.
Dari aspek rekaan luaran, terdapat perubahan ketara pada butang fizikal peranti. Xiaomi memilih untuk memisahkan butang pelaras suara (volume rocker) kepada dua butang kecil yang berasingan. Saiz gabungan kedua-dua butang ini dilaporkan lebih kecil berbanding butang kuasa yang terletak di bahagian bawahnya.
Pemerhatian terhadap modul kamera belakang mengesahkan bahawa peranti ini dilengkapkan dengan tiga kamera sahaja. Walaupun reka bentuk sepintas lalu kelihatan seperti mempunyai empat lensa, penelitian lanjut menunjukkan ketiadaan lensa keempat pada modul tersebut.
Walaupun spesifikasi rasmi belum disahkan sepenuhnya, laporan awal dan ketirisan maklumat mencadangkan ciri-ciri berikut:
- Skrin: Paparan AMOLED 6.9-inci dengan kadar segar semula 120Hz.
- Pemproses: Cip Qualcomm Snapdragon Elite Gen 5.
- Kamera: Lensa periskop 200MP diiringi dua unit kamera 50MP.
Segala spekulasi mengenai spesifikasi penuh hanya akan terjawab pada acara pelancaran yang dijadualkan bermula jam 7 malam pada tarikh tersebut. Setakat ini, tiada maklumat lanjut didedahkan mengenai harga pasaran atau ketersediaan peranti ini untuk pasaran global di luar China.













