Utama Android Xiaomi Xiaomi 14 dan Xiaomi 14 Ultra dilancarkan di Malaysia, Harga bermula dari...

Xiaomi 14 dan Xiaomi 14 Ultra dilancarkan di Malaysia, Harga bermula dari RM3,499

72
0

Xiaomi pada hari ini telah melancarkan Xiaomi 14, siri telefon pintar mercu keluarannya yang terkini di pasaran Malaysia. Ia hadir dengan varian standard dan model teratasnya, Ultra, tanpa model Pro yang buat masa ini hanya eksklusif di China.

Xiaomi 14 Ultra merupakan tumpuan utama di dalam pelancaran tersebut dan dimaklumkan bahawa Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menerima model tersebut.

Dari segi spesifikasi, varian ini menampilkan paparan AMOLED 6.73-inci beresolusi 3200 x 1440 piksel, kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 3000 nits. Telefon pintar ini juga mempunyai perlindungan Xiaomi Shield Glass pada skrinnya, selain mempunyai bingkai aluminium, kemasan kulit dari tumbuhan berteknologi nano di belakangnya, dan kerintangan air dan debu IP68. Turut disediakan pembesar suara stereo yang ditala dengan Dolby Atmos dan juga empat mikrofon.

Di dalam telefon pintar ini disediakan cipset mercu Snapdragon 8 Gen 3 yang turut dilengkapkan bersama-sama GPU Adreno, sistem Modem-RF Snapdragon X75 5G, RAM 16GB dan storan 512GB. Ia menggunakan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 90W secara berwayar dan 80W secara nirwayar selain turut menyediakan sokongan pengecasan berbalik. Tambahan dari itu, telefon pintar yang menggunakan antaramuka Xiaomi HyperOS berasaskan Android 14 ini juga didatangkan dengan ketersambungan Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4 dan NFC.

Xiaomi 14 Ultra menawarkan sistem kuad-kamera di bahagian belakangnya yang ditempatkan pada bahagian bonggol besar berbentuk bulatan. Ia mengandungi kamera utama 1-inci 50MP Sony LYT-900, kamera telefoto berlensa terapung 50MP, lensa berperiskop 50MP dan kamera ultra-lebar 50MP. Kesemuanya dilengkapkan dengan lensa Leica VARIO-SUMMILUX. Tidak ketinggalan, sebuah kamera 32MP turut disediakan pada sebelah hadapannya.

Xiaomi 14

Seterusnya, Xiaomi 14 standard menampilkan paparan AMOLED LTPO 6.36-inci beresolusi 1,200 x 2,680 piksel dengan kadar penyegaran semula 120Hz, kadar pensampelan sentuhan 240Hz dan kecerahan puncak 3,000 nits.

Juga dikuasakan oleh pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3, telefon pintar ini juga dipadankan dengan RAM 12GB, dan pilihan storan 256GB dan 512GB. Bersama-sama sokongan pengecasan berwayar 90W dan 50W nirwayar, telefon pintar dengan penarafan kerintangan air dan debu IP68 ini juga mempunyai bateri berkapasiti 4,610mAh.

Untuk fotografinya pula, Xiaomi 14 mempunyai tri-kamera 50MP di belakangnya yang mengandungi kamera utama, bersudut lebar dan zum telefoto 3.2x. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 32MP.

Harga Xiaomi 14 Ultra dan Xiaomi 14 di Malaysia

Xiaomi 14 Ultra baharu boleh didapati dengan pilihan warna Hitam dan Putih dengan harga jualannya RM5,199 bermula pada 22 Mac 2024. Pra-tempahan mula dibuka esok, 8 Mac sehingga 21 Mac 2024 dan bakal berpeluang menerima hadiah percuma premium bernilai RM2,346.94.

Anda yang membuat pra-tempahan Xiaomi 14 Ultra turut menerima Kit Fotografi Xiaomi 14 Ultra, cagsk pengecas nirwayar adaptif Xiaomi 80W, langganan storan awanan Google One sebanyak 100GB selama 6 bulan, waranti lanjutan 1+1 tahun dan penggantian skrin percuma dalam tempoh 6 bulan pertama selepas pembelian.

Dalam pada masa yang sama, Xiaomi 14 boleh didapati bermula pada esok dengan harganya RM3,499 untuk pilihan konfigurasi 12GB + 256GB dan RM3,799 untuk pilihan konfigurasi 12GB + 512GB.

Hadir dengan pilihan warna Hitam, Putih, dan Hijau Jed, pembelian Xiaomi 14 bermula dari 8 Mac sehingga 21 Mac 2024 bakal menerima hadir percuma premium bernilai sehingga RM1,647.94.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Xiaomi Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.