Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella telah memberikan bayangan mengenai kedatangan Windows ‘generasi berikutnya’ tidak berapa lama lagi. Beliau menyatakan perkara tersebut menerusi ucaptamanya di dalam acara Build 2021 minggu ini.

Microsoft dilaporkan sedang mengusahakan aplikasi gedung baharu untuk Windows sejak beberapa bulan kebelakangan ini bersama-sama perubahan besar antaramukanya. Di dalam ucaptama Encik Satya tersebut, beliau turut menyatakan perubahan baharu ini akan membuka peluang kepada para pembangun dan pereka menjana ekonomi di dalam ekosistem Windows.

Perubahan baharu ini juga membenarkan para pembangun menghantar apa jua aplikasi untuk Windows termasuk pelayar seperti Chrome atau Firefox. Terdapat juga khabar angin yang mengatakan Microsoft juga akan membenarkan pembelian dalam aplikasi oleh pihak ketiga. Ini akan membolehkan pembangun tidak dikenakan caj perkhidmatan Microsoft sebanyak 15% untuk aplikasi dan 12% untuk permainan komputer.

Encik Satya juga lebih kerap merujuk ‘Windows generasi berikutnya’ di dalam ucaptama terbarunya ini berbanding kebiasan sebelum ini yang merujuk apa sahaja berkaitan sistem operasi Microsoft sebagai ‘Windows 10’. Lenggok bahasa ini dijangka menjurus kepada perubahan besar terhadap jenama Windows lebih dari sekadar perubahan antaramuka semata-mata.

Microsoft pada minggu lepas juga telah mengesahkan OS khusus untuk peranti dwi-skrin, Windows 10X tidak akan diterbitkan. Segala hasil usaha pembangunan sistem operasi berkenaan akan digabungkan ke dalam versi utama Windows 10 kelak.

Pembangunan untuk sistem operasi versi baharu ini telah pun dimulakan dan beberapa perubahan baharu turut dilaporkan. Antaranya ikon sistem baharu, penambahbaikan File Explorer, dan penamatan ikon-ikon dari zaman Windows 95.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.