Windows 11 telah diperkenalkan secara rasminya pada Jun tahun lalu dan muat turunnya mula ditawarkan pada Oktober tahun yang sama. Menjelang setahun sistem operasi ini menemui pengguna, Microsoft telah mengumumkan kemaskini utama pertama Windows 11 yang membawakan pelbagai ciri dan pembaikan baharu untuknya.
Menurut Ketua Pegawai Produk Windows dan Peranti Microsoft Panos Panay, kemaskini baharu dinamakan sebagai Windows 11 2022 Update telah disediakan kepada pengguna di lebih 190 buah negara. Menurut beliau, kemaskini ini menumpukan penambahbaikan Windows 11 dalam empat bahagian spesifik:
- Menjadikan PC lebih mudah dan selamat untuk digunakan
- Memperkasakan pengguna untuk menjadi lebih produktif
- Menjadikan Windows tempat terbaik untuk bekerja, berhubung dan bermain
- Menambahbaik sekuriti, pengurusan, fleksibliti tempat kerja
Panos Panay juga menyatakan semakin ramai pengguna menggunakan Windows berbanding dahulu dan beliau turut mendakwa Windows 11 sebagai ‘Windows yang paling banyak digunakan dan paling disayangi’.
Melalui Windows 11 2022 Update, terdapat kemaskini pada menu Start, fungsi carian yang ditambahbaik, lebih liputan berita setempat dan semasa di dalam seksyen Widgets, dan tab di dalam File Explorer, menggantikan keperluan untuk anda membuka sejumlah tetingkap folder-folder.
Selain itu, Panay juga menyatakan lebih satu dari lima pengguna menikmati ciri aksesibilti pada komputernya. Untuk itu, melalui kemaskini terbaru ini juga Microsoft membawakan lebih ciri aksesibiliti seperti kapsyen secara langsung di seluruh sistem, akses suara untuk mengawal dan menavigasi dan juga penambahan Natural Voices untuk fungsi Narrator.
Ciri kawalan Smart App baharu diperkenalkan bagi meningkatkan tahap keselamatan sistem, membolehkan anda memuat turun dengan lebih selamat. Ia dibina berasaskan aplikasi Microsoft Defender yang dilancarkan pada Jun lalu yang menawarkan alatan keselamatan dalam talian yang mudah untuk pelbagai peranti dan boleh dikawal menggunakan satu papan pemuka (dashboard).
Penambahbaikan ciri produktiviti di dalam Windows 11
Windows 11 membawakan alatan susun atur Snap yang memudahkan anda melakukan berbilang tugasan. Microsoft kini juga menambahbaik navigasi sentuhan dan keupayaan mengambil sebilangan tab pelayar secara bersama di dalam Microsoft Edge.
Satu lagi penambahbaikan memfokuskan produktiviti pada Windows 11 adalah ciri sesi Focus baharu di dalam Windows 11. Anda boleh menghidupkannya dan sistem secara automatik akan mengaktifkan mod Do Not Disturb, mensenyapkan notifkasi dan mematikan lencana (badges) taskbar. Apabila di dalam sesi fokus ini, aplikasi Clock akan melancarkan satu pemasa bagi membantu anda memberikan tumpuan dan mengingatkan anda untuk mendapatkan rehat.
Windows Studio Effects turut diperkenalkan di dalam Windows 11 2022 Update bagi meningkatkan pengalaman penggunaan panggilan audio dan video. Ia membawakan beberapa kesan khas kamera dan audio yang dikuaskan oleh AI bagi membantu visual dan audio anda lebih baik ketika di dalam tele-sidang. Antara yang dimasukkan termasuklah:
- Background Blur
- kesan turas hingar Voice Focus
- alatan bantuan Eye Contact
- Automatic Framing
Tidak dapat dipastikan bagaimana ciri ini dapat diintegrasikan pada laptop berkuasa rendah memandangkan tidak semua laptop dilengkapkan dengan webcam berkualiti tinggi.
Lain-lain ciri baharu yang dimasukkan ke dalam Windows 11 2022 Update termasuklah:
- Clipchamp – Penyunting video terbina dalam dengan ciri kawalan dan alatan ringkas
- Penambahbaikan Auto HDR
- Variable Refresh Rate – berguna apabila memainkan permainan di dalam tetingkap
- Amazon Appstore Preview – membolehkan aplikasi Android dijalankan pada Windows 11
- Aplikasi Photos yang diperbaharui – pengurusan foto baharu dengan sandaran mudah ke OneDrive
Untuk mendapatkan Windows 11 2022 Update, anda boleh pergi ke bahagian Windows Update di dalam aplikasi Settings pada PC anda dan klik pada Check For Updates. Kemaskini ini ditawarkan kepada pengguna secara berperingkat dan akan menemui pengguna dalam masa yang terdekat ini. Maklumat lanjut, layari https://blogs.windows.com/windowsexperience/2022/09/20/available-today-the-windows-11-2022-update/