WhatsApp telah memperkenalkan chat berkunci sekitar pertengahan tahun lalu bagi membolehkan anda mengunci chat peribadi dan chat berkumpulan menggunakan kata laluan atau biometrik peranti. Fungsi tersebut bagaimanapun tidak ditawarkan pada peranti-peranti yang dipautkan dengan akaun WhatsApp tersebut.
Menurut WABetaInfo, fungsi berkenaan dijangka akan ditambah tidak lama lagi berdasarkan kemaskini beta WhatsApp untuk Android 2.24.4.14. Penambahan ini bertujuan memberikan lebih privasi kepada pengguna platform permsejan popular ini.
Selain penambahan fungsi baharu tersebut kelak, WABetaInfo juga melaporkan klien WhatsApp Web akan menerima sedikit penambahbaikan antaramuka pengguna dengan menambahkan tab untuk chat berkunci.
Dijangkakan, selepas penyegerakkan chat berkunci dengan peranti WhatsApp yang dipautkan selesai, penambahbaikan lain seperti kod rahsia dan fungsi menyorokkannya bakal menyusul. Cuma tidak dapat dipastikan bilakah ia dilancarkan kepada pengguna umum.