Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka akan merekrut penggodam komputer di masa hadapan sebagai salah satu usaha memperkukuhkan pertahanan negara. Perkara ini telah dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin selepas melancarkan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan Malaysia.
Beliau menyatakan pada masa ini kita telah menyaksikan penggunakan teknologi maklumat di kalangan pasukan tentera di seluruh dunia. Beliau juga memberikan contoh bagaimana kegiatan penyeludupan masa kini yang ada menggunakan dron untuk mengelakkan diri dari ditangkap pihak berkuasa.
Oleh itu, Malaysia tidak boleh ketinggalan dan mungkin ATM satu masa nanti akan merekrut anggota-anggota yang mempunyai kepakaran menggodam sistem komputer, tambah beliau lagi. Selain itu, menteri berkenaan juga menyatakan bagaimana Angkatan Bersenjata Singapura telah diperluaskan melalui pewujudan Perkhidmatan Digital dan Perisikan (Digital and Intelligence Service, DIS) sebagai cabang ketenteraan yang keempat.
Divisyen Pertahanan Siber Angkatan Tentera Malaysia
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menubuhkan Bahagian Siber dan Elektronik Pertahanan (BSEP) pada 2020 bagi mendepani cabaran dan ancaman siber. Bahagian tersebut kini diketuai oleh Ketua Pengarah Laksamana Pertama Mohd Fadzli Kamal bin Mohd Mohaldin.