WeChat telah mengumumkan penamatan perkhidmatan e-wallet WeChat Pay Malaysia (MY) bagi pengguna Malaysia bermula September ini. Berdasarkan pengumuman yang telah dibuat, pendaftaran pengguna baharu juga telah sudah dihentikan bermula pada bulan ini. Manakala kesemua perkhidmatan pembayarannya akan ditamatkan sepenuhnya menjelang September 2024.
Platform pembayaran dalam talian tersebut juga menyatakan pengguna sedia ada boleh membuat pengeluaran dana dari WeChat Pay MY sehingga 31 Disember 2024. Sebarang pengeluaran selepas 1 Januari 2025 perlu dibuat dengan persetujuan pengeluaran khas.
WeChat juga mengesahkan penamatan perkhidmatan platform pembayarannya ini tidak menjejaskan perkhidmatannya yang lain seperti permesejan dan Weixin Pay. Perkhidmatan Weixin Pay merupakan perkhidmatan yang membolehkan pengguna dari Malaysia boleh membuat pembayaran di China dan juga pengguna dari China seperti pelancong untuk membuat pembayaran di Malaysia.

Untuk mengeluarkan baki, pengguna perlu membuka aplikasi WeChat dan melog masuk ke dalamnya. Seterusnya pergi ke Me > Pay and Services > Balance > Withdraw. Masukkan maklumat akaun bank untuk pengeluaran dari baki WeChat Pay berkenaan dan pengguna akan diajukan dengan pengesahan nombor telefon bimbit. Sebaik sahaja proses tersebut selesai WeChat akan mengambil masa sehingga tiga hari bekerja untuk memindahkan dana tersebut ke akaun bank berkenaan.
Pihak WeChat juga menggalakkan pengguna supaya membuat pengesahan identiti (e-KYC) sebelum pengeluaran dibuat.

WeChat Pay MY pertama kali diperkenalkan pada 2018 sebagai salah satu penambahan perkhidmatan di dalam platform WeChat. Melaluinya pengguna boleh membuat pembayaran di kedai-kedai dan stesen minyak yang menyokongnya.