Vivo baru-baru ini telah melancarkan telefon pintar terbarunya Vivo Y30 di Malaysia. Dari segi spesifikasi, telefon pintar ini lebih rendah tahapnya berbanding Vivo Y50.

Antara ciri yang boleh diketengahkan pada Vivo Y30 termasuklah paparan berpenebuk lubang, storan dalaman 128GB dan bateri berkapasiti 5,000mAh.

Spesifikasi Vivo Y30

Telefon pintar Vivo Y30 menyediakan paparan Ultra O LCD IPS 6.47-inci yang berpenebuk lubang pada bucu sebelah kirinya. Keseluruhan kerangkanya diperbuat daripada bahan polikarbonat dengan kemasan berkilat.

Belakang Vivo Y30 menyediakan kuad-kamera yang ditempatkan pada ruangan bersegi empat tepat. Kamera ini mengandungi sebuah lensa utama 13MP, lensa ultra-lebar 8MP, lensa makro 2MP dan lensa berkedalaman 2MP. Turut disediakan adalah pengimbas cap jari pada bahagian belakangnya.

Dilengkapkan dengan cipset Helio P35, Vivo Y30 didatangkan dengan kapasiti RAM 4GB dan storan dalaman yang besar, iaitu 128GB. Tidak ketinggalan, satu slot mikroSD turut disediakan untuk tujuan pengembangan storan. Ia juga menggunakan bateri berkapasiti besar iaitu 5,000mAh, namun hanya menyokong keupayaan pengecasan 10W sahaja.

Sistem yang digunakan olehnya adalah FunTouch OS 10 yang berasaskan Android 10.

Harga Vivo Y30 di Malaysia

Boleh didapati dengan dua pilihan warna iaitu, Moonstone White dan Dazzle Blue, Vivo Y30 kini boleh didapati di pasaran dan juga secara atas talian melalui Lazada pada harga RM899. Pembelian melalui Lazada turut menyediakan potongan RM30 dengan menggunakan kod diskaun.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.