Vivo Malaysia akan melancarkan telefon pintar terbarunya, V19 pada Khamis ini. Sebagaimana pelancaran yang dilakukan sejak kebelakangan ini, telefon peringkat pertengahan ini dilancarkan secara penstriman langsung.

Acara pelancaran dalam talian Vivo V19 bakal berlangsung pada jam 6 petang, 23 April 2020. Anda boleh menontonnya secara langsung melalui laman Facebook rasmi Vivo Malaysia. Bersempena pelancarannya, Vivo Malaysia turut menawarkan tiga unit percuma Vivo V19 khusus untuk penonton bertuah acara tersebut.

Pada masa yang sama, satu acara pra-jualan turut akan diadakan di Lazada Malaysia sebaik sahaja selepas Vivo V19 dilancarkan. Telefon pintar ini juga akan mula dijual pada 29 April. Harga dan model yang bakal dijual di Malaysia akan diumumkan di dalam majlis tersebut.

Spesifikasi Vivo V19

Sebagaiamana yang dinyatakan di dalam laman rasmi produk, Vivo V19 menampilkan paparan Super AMOLED 6.44-inci dengan resolusi Full HD+. Ia menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 712 dengan RAM 8GB dan storan dalaman 128GB dengan sokongan kad mikro SD.

Untuk kamera, ia menampilkan tetapan kuad-kamera untuk kamera belakangnya. Mengandungi satu lensa utama 48MP, satu lensa bersudut ultra luas 8MP, lensa berkedalaman 2MP dan lensa makro 2MP. Untuk kamera swafotonya pula, ia menawarkan tetapan dwi-kamera 32MP + 8MP.

Telefon pintar ini turut didatangkan bersama-sama bateri berkapasiti 4,500mAh yang boleh dicaskan menerusi USB-C. Menggunakan antaramuka FunTouch OS 10 yang berasaskan Android 10, Vivo V19 menyokong pengecasan 33W melalui set pengecas yang disertakan bersama pembelian.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.