Video lagu oleh penyanyi Rick Astley pada tahun 1987, “Never Gonna Give You Up” telah melepasi paras 1 billion kali dimainkan di YouTube baru-baru ini. Lagu berkenaan telah menjadi sebahagian dari budaya di Internet berikutan meme Rickroll yang bermula sejak dari 2006.
Hasil dari pencapaian ini, penyanyi asalnya Rick Astley telah menzahirkan rasa terima kasihnya atas sokongan yang amat menggalakkan oleh netizen di seluruh dunia.
Bagaimanapun, tontonan melebihi 1 billion kali pada video-video di YouTube kini bukanlah sesuatu perkara yang pelik seperti sebelum ini. Ini kerana terdapat sesetengah video yang telah mencapai tontonan sehingga 7 billion kali.
Pun begitu, pencapaian ini menunjukkan tahap sejauh mana meme Rickroll ini mampu bertahan walaupun ia telah wujud di Internet lebih dari 10 tahun. Menurut data dari Billboard, jumlah tontonan harian video tersebut pernah mencecah sehingga 2.3 juta sehari pada hari April’s Fool.
Rick Astley dalam pada masa yang sama telah meraikan kejayaan ini dengan menerbitkan rakaman lagu “Never Gonna Give You Up” menerusi piring hitam 7-inci berwarna biru edisi terhad. Piring hitam berkenaan telah menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila telah habis dijual dalam tempoh yang singkat.