Utama Mobile Aksesori USB-C akan diwajibkan pada semua Peranti Elektronik di EU menjelang hujung 2024

USB-C akan diwajibkan pada semua Peranti Elektronik di EU menjelang hujung 2024

211
0

Parlimen Eropah telah berusaha memperkenalkan rang undang-undang mewajibkan penggunaan USB-C sebagai piawaian port pengecasan sejak tahun lalu. Usaha mempiawaikan ini telah digerakkan sejak bertahun-tahun selepas Arahan Peralatan Radio diperkenalkan.

Usul tersebut menerima undian hampir tidak berbelah bahagi oleh negara-negara anggota apabila dibentangkan di dalam Jawatankuasa Pasaran Dalaman dan Perlindungan Pengguna. Hanya dua buah negara yang menentang usul tersebut.

Kesatuan Eropah telah bersetuju untuk menyeragamkan port mengecas untuk 15 kategori peranti elektronik mudah alih bersaiz kecil dan sederhana menjelang suku ketiga 2024. Ia juga akan dikuatkuasakan dalam tempoh 20 hari selepas Pekeliling Rasmi Kesatuan Eropah diterbitkan yang akan diadakan undian rasminya pada musim panas ini bersama-sama tempoh pengecualian pematuhannya.

Antara peranti yang akan tertakluk di bawah undang-undang baharu ini kelak termasuklah:

  • telefon pintar
  • papan kekunci
  • tetikus
  • peranti navigasi mudah alih
  • tablet
  • e-pembaca
  • earbud
  • kamera digital
  • fon telinga
  • konsol permainan mudah alih
  • pembesar suara mudah alih

Pengeluar telefon pintar mempunyai tempoh selama 24 bulan bagi mematuhi undang-undang ini selepas dikuatkuasakan. Manakala pengeluar laptop pula diberikan tempoh sehingga 40 bulan.

Selain penguatkuasaan piawaian USB-C sebagai port pengecasan, pelaksanaan ini juga akan menetapkan kelajuan mengecas akan diselaraskan bagi tujuan pengecasan pantas.

Undang-undang baharu ini juga akan mewajibkan para pengeluar untuk menyediakan label yang lebih jelas dalam menerangkan ketersesuaian pengecasan pada peranti baharu. Pihak pengeluar juga diwajibkan untuk memberikan pengguna pilihan sama ada ingin pengecas disertakan bersama pembelian peranti baharu atau tidak.

Kesatuan Eropah menjangkakan undang-undangn ini akan dapat memberikan pengguna lebih penjimatan sehingga €250 juta (~RM1.17 billion) setiap tahun untuk membeli pengecas dan mengurangkan sisa elektronik sehingga 11,000 tan setahun.

Undang-undang ini juga digubal sebagai persediaan penggunaan pengecasan nirwayar di masa hadapan yang sebelum ini dijangka akan mampu disaling kendali menjelang 2026.

Dalam masa yang sama, Pesuruhjaya Thierry Breton turut memaklumkan undang-undang berkenaan akan sentiasa dikemaskini mengikut keperluan semasa ketika memberi maklumbalas mengenai sama ada undang-undang ini akan menyekat daya inovasi.

Apple dijangka akan menjadi syarikat yang paling terkesan dengan undang-undang ini kerana penggunaan port Lightning pada iPhone keluarannya. Atas sebab itu, iPhone keluaran tahun 2023 dijangka akan menggunakan USB-C, menurut pakar analisis Encik Ming-Chi Kuo.

SUMBERParlimen Eropah
Artikel sebelum iniSamsung melancarkan barisan TV baharunya Neo QLED 8K 2022
Artikel seterusnyaXiaomi secara rasminya melancarkan Mi Box 4S MAX, Hadir dengan Sokongan port HDMI 2.1, resolusi 8K
Penulis berpengalaman di dalam bidang teknologi maklumat selama 12 tahun dan kerap mengikuti perkembangan teknologi semasa baik di dalam Malaysia mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.