Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan akan meluluskan rang undang-undang yang mewajibkan kesemua pengeluar telefon pintar dan tablet menggunakan pengecas USB-C mengikut piawai pada minggu depan.
Jawatankuasa Perlindungan Pasaran dan Pengguna Dalaman Kesatuan Eropah telah memberikan undian 43-2 pada April lalu untuk meneruskan pelaksanaan undang-undang tersebut.
Versi baharu cadangan tersebut telah memperluaskan cakupan selain dari telefon pintar dan tablet dengan menyertakan laptop, kamera, konsol permainan mudah alih dan banyak lagi. Menurut Reuters, negara-negara Eropah menerusi pembuat dasarnya sedang mempersiapkan undang-undang berkenaan seawal 7 Jun ini.
Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diperhalusi. Misalnya, tidak dapat dipastikan sama ada laptop turut tertakluk di dalam semakan akhir undang-undang tersebut.
Selain itu, para penggubal dasar mahukan undang-undang tersebut dikuatkuasakan seawal 2025. Tetapi, beberapa negara anggotanya dan Suruhanjaya EU mahukan tempoh menggalakkan yang lebih panjang bagi membolehkan para pengeluar mempunyai lebih banyak masa untuk menyesuaikan rekaan pada produk masing-masing.
Dalam pada masa yang sama, Apple merupakan pembangkang utama terhadap undang-undang tersebut kerana kebergantungan syarikat tersebut terhadap port Lightning keluarannya yang digunakan pada iPhone dan sesetengah iPad. Akan tetapi, sebahagian perantinya seperti Mac, iPad Pro dan iPad Air menggunakan USB-C.
Pengeluar-pengeluar lain seperti Google, Samsung dan peranti-peranti Android bagaimanapun tidak terkesan dengan pelaksanaan rang undang-undang EU tersebut.