Utama Internet AS, Britain tuduh Russia dalang disebalik serangan siber laman web Ukraine

AS, Britain tuduh Russia dalang disebalik serangan siber laman web Ukraine

481
0

Russia dituduh bertanggungjawab terhadap serangan-serangan siber yang telah menyebabkan laman-laman web kerajaan dan perbankan di Ukraine tergendala sejak Januari lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh The White House.

Anne Neuberger, Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan di The White House menyatakan pihak kerajaan mempunyai maklumat tersebut. Pihak kerajaan A.S. dikatakan mempunyai maklumat teknikal yang boleh mengaitkan Russian Main Intelligence Directorate atau GRU dengan aktiviti penggodaman tersebut.

Menurut beliau lagi, infrastruktur GRU didapati menghasilkan jumlah trafik komunikasi yang tinggi ke Ukraine, berdasarkan alamat IP dan domain yang direkodkan.

Berdasarkan laporan dari AP dan Reuters, Britain juga secara terbuka mengaitkan insiden serangan siber berkenaan dengan Russia. Kedua-dua negara juga tidak menafikan penglibatan agensi perisikan Russia dalam serangan tersebut.

Pertahanan siber yang tangkas untuk menangkis serangan

Sungguhpun serangan tersebut telah menyebabkan beberapa laman web yang menjadi sasaran tergendala, Neuberger menyatakan kesannya tidak begitu besar kerana tindakan pantas penjawat awam Ukraine menangkis serangan tersebut.

Kementerian Pertahanan dan Luar Negara Ukraine merupakan antara agensi kerajaan yang terkesan dengan serangan siber tersebut. Di paparan utamanya, tertera notis dalam tiga bahasa iaitu Ukraine, Russia dan Poland. Notis tersebut menyebut:

“Rakyat Ukraine! Kesemua data peribadi anda telah dimuat naik ke rangkaian awam. Semua data pada komputer dimusnahkan dan mustahil untuk dipulihkan semula.”

Mesej tersebut juga menunjukkan “sejarah” serta peta dan bendera Ukraine yang telah dipangkah.

Kementerian Maklumat Ukraine sebelum ini menyatakan serangan siber tersebut didalangi oleh Russia. Kenyataan tersebut turut disokong oleh Kementerian Kebudayaan dan Dasar Maklumat yang tidak menolak kemungkinan serangan tersebut dilakukan oleh pihak Russia yang berselindung di sebalik kumpulan ultra nasionalis Ukraine.

Pihak The White House menjangkakan Russia mampu meningkatkan tahap ancaman serangan sibernya di masa hadapan. Peningkatan serangan tersebut merupakan rentetan dari operasi penaklukan Ukraine yang sedang dijalankan. Presiden Biden pada Jumaat lalu mengatakan A.S. mempunyai maklumat perisikan yang menunjukkan Presiden Russia, Vladimir Putin telah membuat keputusan untuk menyerang Ukraine dalam tempoh beberapa hari lagi.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.