Utama Android Samsung Ulasan Samsung Galaxy Buds2: Penuhi keperluan Audio nirwayar dengan penuh gaya

Ulasan Samsung Galaxy Buds2: Penuhi keperluan Audio nirwayar dengan penuh gaya

61
0

Bersama-sama Galaxy Z Fold3 dan Z Flip3, Samsung turut memperkenalkan Galaxy Buds2. Earbuds nirwayar berkesinambungan dari Galaxy Buds ini diletakkan di dalam kategori pemula. Kini, siri Galaxy Buds dibarisi oleh Galaxy Buds Pro, Galaxy Buds Live dan Galaxy Buds2.

Galaxy Buds2 mempertingkatkan apa yang ada pada model terdahulu dengan menambahkan fungsi active noise cancellation (ANC). Pun begitu, perubahan paling menarik yang dibawakan oleh fon telinga nirwayar ini pastinya dari sudut rekaan dan keselesaan pemakaiannya.

Ia merupakan true wireless earbuds paling ringan dan kecil yang pernah dihasilkan oleh Samsung setakat ini. Justeru, sepanjang penggunaannya dalam tempoh dua minggu ini, saya tidak merasa sebarang kejanggalan ketika memakainya.

Galaxy Buds2 hadir bersama-sama bekas yang mempunyai saiz dan bentuk yang sama dengan Buds Pro dan Buds Live. Sekali imbas, mirip seperti kotak bekas menyimpan cincin emas. Apa pun, saya tidak mempunyai masalah dengan itu kerana saiz tersebut memudahkan saya menyimpannya di dalam kocek seluar.

Bekas yang menyokong pengecasan secara nirwayar ini juga dirasakan amat kemas hasil pembuatannya termasuk ketika anda membuka dan menutup penutupnya.

Dari segi rupa luaran, bekas menyimpan true wireless earbuds ini berwarna putih dan diberikan kemasan gloss. Warna putihnya adalah sama untuk semua jenis pilihan warna dan hanya disebelah dalam sahaja warnanya sama dengan warna pilihan earbuds anda.

Untuk rekaan earbuds Galaxy Buds2 ini pula, ia tidak begitu kelihatan terlalu ketara apabila anda memakainya. Kadangkala sesetengah orang mungkin tidak perasan yang anda sedang memakainya. Hal ini kerana faktor reka bentuk yang dihasilkan oleh Samsung kian bertambah baik bagi generasi terkini ini.

Galaxy Buds2, pembelian yang berbaloi 

Dari segi kefungsiannya, kegunaan melibatkan panggilan suara melalui telefon amat jelas baik dari segi pendengaran dan perbualan. Malah, audionya amat jelas ketika telesidang seperti Google Meet dan Zoom.

Menurut Samsung, Galaxy Buds2 dilengkapkan dengan “penyelesaian berasaskan pembelajaran mesin yang mengurangkan gangguan bunyi latar.” Berdasarkan pengamatan saya, ia sememangnya berfungsi dengan baik bagi tujuan membuat panggilan atau telesidang.

Tempoh penggunaan bateri Buds2 bagaimanapun tidak mampu menandingi apa yang ditawarkan oleh Galaxy Buds Plus. Samsung menganggarkan baterinya mampu bertahan sekitar lima jam secara berterusan untuk main semula dengan ANC diaktifkan. Anda boleh melanjutkan tempoh berkenaan sehingga 20 jam jika menggunakannya bersama-sama bekasnya.

Jika anda mematikan ANC tersebut, ia mampu bertahan sehinga 7.5 jam, atau 29 jam bagi penggunaan bersama-sama bekas menyimpannya. Secara keseluruhannya masih lagi OK, cuma kurang berbanding apa yang ditawarkan oleh Buds Plus yang mampu bertahan sehingga 11 jam.

Bercerita mengenai ANC yang ditawarkan oleh ANC pada Galaxy Buds2 ini, ia bukanlah sesuatu yang terlalu padu. Ia cuma sekadar OK dan boleh tahan. Tak lebih dan tak kurang.

Kualiti audio

Hal yang sama juga boleh dinilai pada kualiti audio yang disampaikan olehnya. Tidak teruk, tetapi tidak begitu terlalu bagus. Sedap untuk didengar pengguna biasa yang tidak kisah untuk memperincikan julat audio seperti bass atau treble mengikut citarasa. Bagi anda yang agak cerewet dengan audio berkualiti tinggi, pilihan yang sesuai bagi anda mungkin Galaxy Buds Pro.

Beberapa ciri audio lain antara Buds Pro dan Buds2 mempunyai persamaan. Antaranya rekaan pemacu dua hala dengan sepasang woofer dan tweeter pada setiap pasang.

Earbudsi ini juga menyokong codec AAC, SBC dan Samsung Scalable. Untuk codec dari Samsung berkenaan, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika anda memautkannya pada peranti Galaxy.

Selain dari soal kualiti audio, seperkara yang membezakannya dengan Buds Pro adalah penarafan kerintangan air dan debu padanya. Buds2 hanya mempunyai IPX2 berbanding Buds Pro yang mempunyai penarafan IPX7. Justeru, anda tidak dinasihatkan untuk Buds2 ketika di dalam hujan atau ketika dibasahi peluh terutama ketika bersenam.

Ciri-ciri lain Galaxy Buds2 yang menarik

Fungsi ANC boleh dimatikan secara automatik apabila anda menanggalkan salah satu earbuds yang sedang anda pakai. Ia bertujuan mengurangkan ketidakselesaan dan juga membantu anda mendengar keadaan persekitaran dengan lebih baik.

Dalam pada masa yang sama, mod ambient juga diaktifkan secara auto atas tujuan yang sama. Fungsi ANC berkenaan akan diaktifkan semula secara automatik sebaik sahaja anda meletakkan kedua-dua belah earbuds anda ke lubang telinga.

Aplikasi Galaxy Wearable yang amat sesuai untuk digunakan bersama-sama dengan Buds2 ini turut menyediakan pilihan untuk menjejak earbuds anda yang hilang. Ia juga boleh digunakan untuk mengubabsuai kawalannya. Kawalan Buds2 boleh dibuat menerusi ketikan iaitu, satu, dua dan tiga, serta gerak isyarat melibatkan tekanan dan memegang.

Selain itu, aplikasi ini juga kini mempunyai fungsi baharu iaitu ujian kemuatan yang membantu anda memilih tip silikon yang sesuai berdasarkan tiga saiz yang disediakan bersama-sama kotak pembungkusannya.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Galaxy Buds2 menawarkan segala apa yang perlu bersesuaian dengan harga yang ditawarkannya. Unik dari sudut rekabentuk dan sedap untuk dipakai sepanjang hari. Ia juga tidak terlalu gah dari segi penawaran fungsi, tetapi tidak pula teruk.

Boleh dikatakan, ia merupakan earbuds nirwayar pilihan paling sesuai untuk digunakan pada mana-mana peranti Android yang berada di pasaran pada ketika ini.

Kelebihan Galaxy Buds2

  • Rekaan kecil, kemas dan tidak ketara apabila dipakai
  • Kualiti audio yang bagus
  • ANC dan pengecasan nirwayar

Kekurangan Galaxy Buds2

  • Mod bunyi ambien yang biasa-biasa
  • Kurang kerintangan air
  • Tiada auto-jeda apabila salah satunya dialihkan dari lubang telinga

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.