Utama Android Oppo Ulasan OPPO Reno 11 Pro 5G; Telefon Pintar Menengah yang Menyerlah

Ulasan OPPO Reno 11 Pro 5G; Telefon Pintar Menengah yang Menyerlah

277
0

OPPO telah memperkenalkan dua lagi model terbaru di dalam siri OPPO Reno bagi pasaran Malaysia. Siri Reno yang seringkali dikaitkan dengan keupayaan kameranya kini telah memperkenalkan model baharunya, OPPO Reno 11 5G dan OPPO Reno 11 Pro 5G. Siri baharu ini hadir kira-kira enam bulan selepas siri Reno 10 dilancarkan.

OPPO Reno 11 Pro dikuasakan oleh pemprosesan Dimensity 8200 berbanding Reno 10 Pro yang menggunakan pemprosesan Snapdragon 778G. Sungguhpun berbeza penggunaan pemprosesannya, bateri dan kameranya masih lagi sama.

Melalui paparan AMOLED beresolusi 1.5K dengan kadar penyegaran semula 120Hz, OPPO Reno 11 Pro menampilkan bateri berkapasiti 4,600mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 80W. Spesifikasi kameranya tidak berubah, namun ColorOS 14 yang baharu menambahkan ciri-ciri baharu pada telefon pintar ini. Jom kita lihat sejauh mana penawaran yang disediakan oleh OPPO Reno 11 Pro.

Kelebihan dan Kekurangan OPPO Reno 11 Pro

Kelebihan

  • Paparan AMOLED 120Hz yang baik
  • Pemprosesan yang baik
  • Prestasi kamera yang cemerlang
  • Pengecasan pantas 80W

Kekurangan

  • Tiada penarafan IP untuk perlindungan air dan debu
  • Tiada sokongan pengecasan nirwayar
  • Masalah menyambung kembali aktiviti selepas dibuka dan ditutup

Rekabentuk dan Skrin

OPPO Reno 11 Pro menampilkan skrin melengkung AMOLED 6.7-inci beresolusi FHD (2,412 x 1080 piksel) dengan kadar penyegaran semula adaptif 120Hz. Kecerahan puncaknya pula tidaklah begitu tinggi pada 950 nits, namun masih lagi masih boleh dilihat apabila di luar. Skrin yang menawarkan warna gamut 100% DCI-P3 ini juga menawarkan mod warna skrin, terang (vivid), Natural, dan Pro.

Telefon pintar ini juga menawarkan sokongan HDR 10 yang boleh digunakan dengan platform penstriman video seperti YouTube, Netflix dan Amazon Prime Video. Anda juga boleh menghidupkan lonjakan video HDR dari tetapan paparan yang meningkatkan warna video SDR untuk menjadikannya seakan HDR. Turut disediakan pilihan peningkat warna video dan mempertajamkan imej.

Skrin telefon pintar ini juga mempunyai bingkai yang amat nipis pada 1.57mm sahaja sekaligus memanfaatkan ruang yang ada dengan sebaiknya. Paparan hadapannya ini juga menyediakan sebuah kamera 32MP yang ditempatkan pada bahagian berpenebuk lubang di sebelah atasnya. Turut disediakan sokongan pengimbas cap jari terbina bawah skrin.

Pada bahagian sisi kanannya pula disediakan butang kuasa bersama-sama butang kawalan audio. Untuk slot kad SIM, mikrofon utama, port USB-C, dan corong pembesar suara disediakan pada bahagian bawahnya dengan mikrofon kedua dan pemancar inframerah disediakan pada sebelah atasnya. Tiada slot kad mikroSD disediakan untuk telefon pintar ini.

Permukaan belakang telefon pintar ini menampilkan kaca melengkung 3D dengan kemasan seakan-akan kain satin. Pilihan warna putih mutiara yang kami terima ini juga mempunyai rekabentuk Shimmering Pearl yang menurut OPPO diadun dengan tiga lapisan bagi membentuk satu kepingan kaca yang mengandungi 3.6 juta permukaan reflektif halus bagi memberikan kesan uniknya. Kaca berkenaan juga menerima perlindungan Gorilla Glass 5.

Prestasi

Pemprosesan yang digunakan oleh OPPO Reno 11 Pro, MediaTek Dimensity 8200, dikirakan agak lama kerana ia dilancarkan pada Disember 2022. Cipset yang sama digunakan pada Vivo V27 Pro dan Vivo V29 Pro ini juga mempunyai teras utama ARM Cortex A78 dengan kelajuan klok 3.1GHz bersama-sama teras berprestasu ARM Cortex A78 berkelajuan klok 3.0GHz. Juga terdapat empat teras ARM Cortex A55 berkelajuan 2.0GHz.

Bergandingan dengan RAM LPDDR5X 12GB dan storan UFS 3.1 256GB, telefon pintar ini didapati mampu mengendalikan tugas-tugas harian seperti sosial media, tontonan video, produktiviti serta permainan dengan baik. Malah, untuk permainan mudah alih seperti FC Mobile dan Genshim Impact juga dapat dimainkan pada tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah. Cuma ia akan menjadi sedikit panas jika dimainkan dalam tempoh yang agak lama dan ini merupakan perkara yang biasa pada mana-mana telefon pintar.

Dari segi perisiannya pula, OPPO Reno 11 Pro menggunakan antaramuka ColorOS 14 berasaskan Android 14 dan ia kelihatan amat mirip dengan yang digunakan pada Reno 10 Pro. Seperti antaramuka yang berasaskan Android 14 lain, ColorOS juga membawakan ciri-ciri baharu seperti Image Matting, File Dock, Trinity Engine, dan sebagainya serta pilihan pemperibadian melalui O-Relax, O-Haptics, dan Omoji. Selain itu, melalui Android 14 ini juga, sokongan untuk aplikasi Google Health Connect turut diperkenalkan.

Secara keseluruhan, perisiannya didapati lebih baik berbanding model terdahulu. Cuma aplikasi-aplikasi sarap yang dipra-pasang ketika memulakannya buat pertama kali dilihat agak menjengkelkan. Bagi anda yang merasakan aplikasi sarap berkenaan tidak diperlukan, anda boleh membuangnya seperti biasa.

Kamera

Tetapan kamera OPPO Reno 11 Pro sama seperti OPPO Reno 10 Pro. Terdapat tri-kamera yang mengandungi kamera utama dengan sensor Sony IMX890 50MP OIS berapertur f/1.8, kamera telefoto Sony IMX709 32MP dengan zum optikal 5x berapertur f/2.0 dan kamera ultra-lebar Sony IMX355 8MP dengan sudut pandang 112-darjah. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 32MP Sony IMX709 berapertur f/2.4 dengan zum 2x.

Berbeza dengan model sebelumnya, OPPO Reno 11 Pro didatangkan dengan Oppo Hypertone Imaging Engine yang sebelum ini terdapat pada Find X6 dan Find N3 Flip. Menurut OPPO, ia mampu meningkatkan julat dinamik dan perincian di dalam foto yang ditangkap.

Sensor kamera utamanya mampu mengambil foto yang mantap dengan perincian yang bagus. Warna yang dihasilkan daripadanya juga kelihatan baik dan tidak berlebihan. Kesan daripada OIS juga dapat dimanfaatkan dengan baik apabila anda menangkap gambar ketika sambil berjalan-jalan. Julat dinamik daripadanya juga baik dan ia memadai bagi sesebuah telefon pintar peringkat menengah sepertinya.

Cuma lensa kamera ultra-lebarnya agak sederhana kualitinya dengan perincian daripadanya agak kurang menyerlah. Ia sesuai untuk fotografi lanskap cuma kualiti untuk periciannya tidak begitu baik.

Seterusnya untuk kamera telefoto 32MP yang disediakannya pula ia dapat digunakan dengan baik. Didatangkan dengan zum optikal 2x dan zum di dalam sensor 5x, foto yang diambil menggunakannya dapat menghasilkan perinician yang baik selain kaya dengan warna. Melalui OPPO Hypertone Imaging Engine dan Android 14, algoritma kameranya lebih baik sedikit berbanding OPPO Reno 10 Pro.

Tidak ketinggalan, kamera hadapan 32MP OPPO Reno 11 Pro juga tidak mengecewakan. Swafoto yang ditangkap mampu menangkap potret wajah dengan baik dan tidak kelihatan terlalu berlebihan kesan penurasannya (filter). Anda juga boleh memilih pelbagai jenis kesan penuras mengikut kesesuaian dan citarasa anda melaluinya.

Untuk videonya pula, OPPO Reno 11 Pro mampu merekodkan video 4K pada 30 fps, Full HD pada sehingga 60fps dan HD pada sehingga 60fps.

Contoh foto dari kamera OPPO Reno 11 Pro 5G

Bateri

Sama seperti modelnya yang terdahulu, OPPO Reno 11 Pro 5G juga mempunyai bateri berkapasiti 4,600mAh dengan sokongan pengecasan berwayar OPPO SuperVOOC 80W. Ia mampu bertahan lebih dari sehari suntuk bagi kegunaan biasa dan ini sememangnya dijangkakan daripada pemprosesan MediaTek.

Untuk pengecasannya pula, melalui adapter pengecas 80W yang disediakan di dalam kotaknya, ia mampu dicaskan dari 0 hingga 100% dalam tempoh 30 minit sahaja. Turut disediakan, OPPO Battery Health Engine yang diperkenalkan bagi membantu meningkatkan ketahanan bateri telefon pintar berkenaan.

Kesimpulan

OPPO Reno 11 Pro 5G merupakan antara telefon pintar peringkat menengah yang berbaloi di pasaran pada ketika ini. Ia mempunyai skrin AMOLED 120Hz, pemprosesan MediaTek Dimensity 8200 yang baik serta RAM 12GB dan storan 256GB yang mencukupi bagi kegunaan harian.

Kameranya-kameranya, selain dari bersudut lebar, mampu menjalankan peranan dengan baik walaupun mempunyai konfigurasi perkakasan yang sama dengan model terdahulu.

Anda yang berminat untuk mendapatkan telefon pintar ini boleh mengunjungi laman web rasmi OPPO Malaysia, OPPO Brand Stores dan juga wakil pengedar yang sah di seluruh negara pada harga RM2,499.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.