Utama Android Oppo Ulasan OPPO Reno 11 F 5G

Ulasan OPPO Reno 11 F 5G

331
0

Memperluaskan lagi penawaran telefon pintar dengan kamera yang baik, OPPO telah memperkenalkan Reno 11 F 5G di Mobile World Congress (MWC) 2024 di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini.

Ia merupakan model yang paling mampu milik di kalangan siri ini dengan beberapa ciri yang terdapat pada model Reno 11 tidak tersedia padanya. Hanya pemprosesannya sahaja yang masih lagi kekal sama.

Rekabentuk dan Skrin

Huruf F yang digunakan pada nama model ini mungkin merujuk kepada maksud “fun” memandangkan warna-warna pilihannya kelihatan lebih “seronok”. Misalnya unit ulasan yang kami terima ini berwarna Palm Green ini hadir dengan kemasan berkilat lagi bergemerlapan pada permukaan belakangnya. Coraknya akan kelihatan sedikit perubahan tona warna apabila berubah sudut pandang ketika melihatnya.

Telefon pintar yang boleh dikirakan agak nipis dan ringan ini hanya seberat 177g sahaja, ia lebih ringan berbanding OPPO Reno 10 5G pada tahun lepas yang seberat 185g.

Skrinnya juga masih lagi sama dengan model keluaran tahun lepas berkenaan melalui paparan OLED 6.7-inci 120Hz beresolusi 2412 x 1080 piksel. Dari segi kejituan warna, ia mampu mencapai sRGB 100%, 98.63% gamut warna DCI-P3 dan kecerahan paparan 900 nits. Bingkai pada skrinnya juga lebih kecil pada ukuran 1.45mm pada semua sisi.

Prestasi

OPPO Reno 11 F 5G menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 7050 dengan RAM 8GB. Isu telefon pintar menjadi terlalu panas dijangka tidak timbul memandangkan pemprosesan ini bukanlah berkuasa tinggi.

Ia mampu memainkan sebahagian besar permainan mudah alih termasuk yang berkeperluan grafik tinggi. Namun, tidak perlu meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk memainkan pada kualiti grafik tertinggi sesuai dengan keupayaan pemprosesannya.

Perisian

Untuk perisiannya pula, telefon pintar ini didatangkan dengan antaramuka ColorOS 14 yang berasaskan dari Android 14. Perisian ini juga menyediakan File Dock yang membolehkan anda mengakses kandungan antara aplikasi dengan pantas.

Bersama-sama dengan dok berkenaan, fungsi Smart Touch membolehkan anda mengambil tangkapan layar dan kemudian menyalin imej visual atau teks terus ke dalam File Dock untuk rujukan mudah. Seiring dengan trend semasa telefon pintar Android, OPPO Reno 11 F 5G juga boleh membuang subjek dari latar belakang sesebuah imej dengan hanya menekan lama padanya. Ia kemudian menghasilkan imej telus berformat PNG untuk disunting.

Pada asasnya, ColorOS merupakan antaramuka yang baik dengan menawarkan ciri pengurusan fail seperti Shelf yang menguruskan dan memaparkan maklumat, widget, alatan dan perkhidmatan dalam tontonan kad sekilas pandang.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang perisiannya memandangkan ia lebih kurang sama seperti yang terdapat pada siri Reno yang lain termasuk model OPPO Reno 11 Pro 5G yang baharu sahaja kami ulas.

Namun, kehadiran aplikasi sarap (bloatware) seperti Hot Games, Hot Apps dan sebagainya agak menjengkelkan pada pandangan kami.

Kamera

Kameranya pula sedikit berbeza dengan model terdahulu walaupun lensa utamanya 64MP dan lensa bersudut lebar 112-darjah 8MP masih lagi dikekalkan. Namun begitu, kamera telefoto 32MP dengan jarak fokal 47mm sebelum ini telah digantikan dengan kamera makro 2MP. Perubahan yang ada pada kamera telefon pintar ini hanya pada sokongan rakaman video 4K melalui kamera hadapan 32MP.

Lain-lain ciri

Sungguhpun nipis, OPPO Reno 11 F 5G dikirakan agak lasak mengambil kira penarafan kerintangan air dan debu IP65 yang diterimanya. Justeru, anda mungkin tidak perlu bimbang jika telefon pintar ini basah terkena hujan di dalam poket seluar anda ketika menunggang motosikal.

Baterinya yang berkapasiti 5,000mAh mampu bertahan sekitar 15 jam bagi penggunaan yang tinggi secara berterusan. Ia sudah dijangka mengambil kira faktor pemprosesannya Dimensity 7050 yang mempunyai kecekapan pengguna tenaga yang baik. Sokongan pengecasannya pula hadir dalam bentuk SuperVOOC 67W dan sokongan tersebut turut disediakan pada pengecasnya yang disediakan bersama-sama kotak pembungkusannya.

Harga OPPO Reno 11 F 5G di Malaysia

OPPO Reno 11 F 5G dijual pada harga RM1,399 di pasaran tempatan dan boleh dibeli menerusi platform dalam talian di Shopee dan Lazada, serta di kedai-kedai fizikal melalui wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.